SUNGAI BULOH – Hanya dalam tempoh lima minit, sebuah kedai emas di Paya Jaras, di sini kerugian hampir setengah juta ringgit dalam kejadian rompakan bersenjata, petang kelmarin. Kejadian berlaku kira-kira jam 2.40 petang ketika mangsa sedang melayan pelanggan, sepasang suami isteri. Seorang penjenayah menyerbu kedai tersebut dan mengacukan senapang kepada mangsa dan pelanggan itu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, penjenayah yang menutup muka dengan kain itu mengarahkan mangsa memasukkan barang kemas ke dalam beg galas. “Mangsa menyerahkan lapan dulang emas kepada suspek, sebelum suspek melarikan diri setelah mendengar jeritan rakannya yang berada di luar premis itu,” katanya. Menurutnya, siasatan awal mendapati dua lagi rakan suspek yang menaiki dua buah motosikal Yamaha 123 warna hitam dan merah menunggu di luar premis berkenaan.
“Siasatan juga mendapati premis berkenaan tiada kamera litar tertutup (CCTV), namun seorang saksi memberitahu ternampak dua suspek berkenaan yang memakai topi keledar berada di luar premis itu,” katanya. Junaidi berkata, pihaknya sedang mengenal pasti 17 kesan cap jari di lokasi kejadian.
“Kami meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan