Rabu, 22 Februari 2012

DINAR KELANTAN

Apakah itu Dinar Kelantan?
Standard dan Denominasi Dinar

Dinar Kelantan adalah koin emas syariah yang dikeluarkan oleh Kelantan Gold Trade Sdn.Bhd dibawah Kerajaan Negeri Kelantan. Ianya dilancarkan sebagai matawang Islam untuk urusan pembayaran gaji, pembayaran zakat, mas kahwin dan juga untuk kegunaan perniagaan. Pada awalnya Dinar Kelantan yang mula diperkenalkan pada September 2006 adalah denominasi 1/4,1/2 dan 1 Dinar yang pada ketika itu bernilai RM99.38, RM176.76 dan RM332.25. Pada Julai 2007 dinar berdenominasi 2 dinar pula diperkenalkan. Dinar Kelantan bercorak baru pula telah dilancarkan secara rasminya pada 12 Ogos 2010 dan boleh didapati dalam denominasi seperti berikut :

Harga semasa pada ketika itu adalah RM290.50 (1/2 Dinar), RM581 (1 Dinar), RM1,162 (2 Dinar), RM2,905 (5 Dinar), dan RM4,648 (8 Dinar). Contoh gambar set Dinar Kelantan adalah seperti berikut :
Set Dinar Emas Kelantan

Apakah itu Dirham Kelantan?
Dirham Kelantan ialah koin perak syariah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Ianya mula diperkenalkan pada 12 Ogos 2010 dalam dominasi 1,2,5,10 dan 20 dengan harga semasa RM13, RM26, RM65, RM130 dan RM260 masing-masing. Digunakan untuk menyempurnakan ibadah zakat, bayaran mas kahwin, simpanan dan hadiah. Ianya juga boleh berfungsi sebagai medium pertukaran sukarela untuk barangan atau pun perkhidmatan.

Set Dirham Kelantan

Dimanakah boleh diperolehi koin Dinar dan Dirham Kelantan?
Koin Dinar dan Dirham Kelantan boleh didapati di Tamis Gold..

Apakah kaitan Dinar dan Dirham Kelantan sebagai matawang Syariah?
Dinar dan Dirham Kelantan dikatakan matawang syariah kerana ianya halal menurut syarak. Dinar dan Dirham menggunakan Piawaian Khalifah Umar Al-Khattab. Piawaian ini menetapkan hubungan dinar-dirham sebagai berat 7 koin 1 dinar bersamaan dengan berat 10 koin 1 dirham. Secara amnya berat 1 dinar ialah 4.25 emas berketulenan 22k (91.7%) manakala 1 koin dirham bersamaan 2.975g perak tulen.

Benarkah perkataan Dinar & Dirham ada di dalam Al-Quran?
Perkataan dinar dan dirham disebut didalam Al-Quran pada: Surah Imran(3):75 yang bermaksud;
"Dan di antara Ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya."

Yang demikian itu ialah mereka mengatakan : " Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi" dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah SWT sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta)."
Surah Yusuf (12):20 yang berbunyi "Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya."

Bolehkah kalimah Syahadah digunakan pada Dinar dan Dirham?
Boleh. Kalimah Syahadah telah mula digunakan semenjak dinar mula-mula ditempa oleh Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan pada  120H. Dengan menempa kalimah tersebut melambangkan syiar Islam dan deklarasi iman dalam setiap keping dinar dan dirham.

Berikan contoh penggunaan dinar dan dirham di zaman Rasul s.a.w..
Hadis daripada Urwah bin Abi Al-Ja'd Al Bariqi, beliau berkata:" Sesungguhnya Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam memberinya satu dinar untuk membeli seekor kambing, lalu ia membeli untuk  Nabi s.a.w dua kambing dengan wang tersebut. Maka ia jual seekor dengan harga satu dinar dan membawa satu ekor kambing dan dinar kepada Nabi s.a.w. Lalu Nabi s.a.w mendoakannya: "Dia (Urwah ini), seandainya membeli debu tentu akan untung juga" (HR.Abu Dawud (2810)dan At-Tirmidzi(1/287))

Contoh penggunaan dirham oleh Rasul s.a.w Abu Salamah menceritakan, "Aku pernah bertanya kepada Aisyah RA, "Berapakah mahar Nabi SAW untuk para isterinya?".Aisyah menjawab,"Mahar beliau untuk para isterinya adalah sebanyak 12 uqiyah dan satu nasy." Lalu Aisyah bertanya,"Tahukah kamu, berapa satu uqiyah itu?" Aku menjawab, "Tidak." Aisyah menjawab,"Empat puluh dirham." Aisyah bertanya lagi,"Tahukah kamu,berapa satu nasy itu?"Aku menjawab, "Tidak." Aisyah menjawab,"Dua puluh dirham." (HR. Muslim)

Berikan contoh kaitan dinar dan dirham dengan Hukum Syarak?
Contoh dari segi zakat ialah nisab atau ukuran zakat ialah 1/2 dinar bagi setiap 20 dinar dan 5 dirham bagi setiap 200 dirham;yang cukup haulnya. Manakala hudud dijalankan dalam kes kecurian yang nilainya melebihi 1/4dinar.

Apakah kaitan pemerintah dengan Dinar dan Dirham?
Dinar dan Dirham berkait rapat dengan kerajaan. Ini diperhatikan dalam surah An-Nisa:59; "Wahai orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah swt dan patuhlah kepada pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu. "(An-Nisa(3):59), Menurut Al-Qurtubi dalam Tafsir Al-Quran beliau, ayat tersebut merupakan pemerintah supaya umat Islam taat kepada pemerintah dalam tujuh perkara iaitu:
1. Penempaan dinar dan dirham
2. Penetapan berat dan ukuran
3. Keputusan mahkamah
4. Haji
5. Jumu'ah
6. Dua Hari Raya
7. Jihad
Dalam kata lain, urusan dinar ialah urusan agama Islam dan kedaulatan dalam Islam. Penggunaanya melambangkan kepatuhan kepada perintah Allah SWT, bukan semata-mata urusan ekonomi.

Apakah Dinar dan Dirham Kelantan sahaja boleh dijadikan matawang?
Tidak semestinya. Di sepanjang sejarah manusia terdapat pelbagai komoditi yang digunakan sebagai wang. Komoditi di atas termasuklah binatang ternakan, bijirin, manik-manik, cengkerang, rokok, tembaga dan timah. Emas dan perak telah terpilih sejak berzaman sebagai matawang kerana mempunyai ciri-ciri sebagai wang. Ianya sukar diperoleh, cantik, mudah dibahagi, mudah dibawa, diterima khalayak ramai dan tidak mudah dimusnahkan. Iman Malik di dalam Kitab Al-Muwatta menjelaskan bahawa wang ialah apa-apa komoditi yang lazimnya diterima pakai sebagai bahan pertukaran.

Adakah Koin Kijang Emas sama dengan Dinar Kelantan?
Tidak sama. Spesifikasinya berbeza daripada Dinar Kelantan. Kijang Emas ialah koin emas seberat 1/4, 1/2 dan 1 troy ounce yang dilancarkan Bank Negara Malaysia sekitar Julai 2001. 1 troy ounce adalah bersamaan 31.1.g, 1 Dinar Kelantan pula 4.25g.

Benarkah wang kertas seperti dolar Amerika, Yen Jepun dan Ringgit Malaysia 100% disandarkan dan boleh disaling tukar dengan emas?
Tidak benar. Berdasarkan sistem kewangan dunia kini, tiada satu pun mata wang nasional yang bersandarkan eemas. Wang kertas hanya boleh ditukar dengan wang kertas yang lain. Sebagai contoh; Jika seseorang ke bank pusat seperti Bank Negara Malaysia untuk menukarkan sekeping wang RM100, beliau akan diberikan SAMA ADA 2 keping wang RM50 atau 10 keping wang RM10 atau 100 keping wang RM1 tetapi tidak sama sekali ditukarkan dengan emas.

Adakah Dinar Kelantan sejenis Wang Fiat?
Dinar Kelantan bukan wang fiat, ianya alat tukar sukarela. Wang fiat adalah wang yang nilainya dikuatkuasa oleh undang-undang negara. Wang fiat menjadi wang sah melalui pemerintah atau paksaan kerajaan. Wang fiat diperakukan sebagai medium melangsaikan hutang melalui undang-undang, Jika pemiutang tidak mahu menerima wang fiat sebagai bayaran melangsaikan hutang, beliau boleh dibawa ke mahkamah! Wang fiat merupakan nota perjanjian kerajaan.
Wang fiat sesuatu negara tidak menjadi wang sah di luar sempadannya kerana undang-undang sesebuah negara hanya berlaku di dalam sempadan negara itu sahaja. Dinar Kelantan boleh diterima di mana sahaja, asal saja ada kesudian pembeli dan penjual. Dinar Kelantan ialah koin emas.

Bukankah Ringgit disandarkan kepada emas?
Sandaran kepada "wang kertas BNM" atau lebih dikenali sebagai Ringgit adalah wang kertas yang lain seperti Dollar Amerika, Yen Jepun, Euro dan seumpamanya. Emas cuma merupakan sebahagian kecil daripada rizab BNM, sekitar 1.5% (Cuma RM1.452 billion daripada RM94.772 billion;setakat 30 Jun 2010). Rujuk Bank Negara Malaysia mengapa perlu umat Islam beralih daripada wang kertas atau wang fiat kepada koin dinar seperti Dinar atau Dirham Kelantan?Mengapa tidak, penggunaan dinar serta dirham adalah antara sunnah Rasul SAW. Selain daripada berpeluang mengikuti jejak langkah baginda, umat Islam dapat disatukan melalui penggunaan dinar yang tidak mengenal sempadan. Corak tempatan dinar mungkin berbeza-beza tetapi berat dan ketulenanya adalah serupa di serata pelusuk Islamiah.

Dimanakah Dinar dan Dirham boleh dibelanjakan??
Dimana ada kedai-kedai emas yang ada logo "Kami Terima Dinar dan Dirham"..contohnya di Tamis gold

Walla'ulam..

Sumber : dinarkelantan


Tiada ulasan: