HARGA EMAS JATUH LAGI??
Harga emas jatuh terendah dalam tempoh empat bulan setengah,semalam ekoran kebimbangan krisis hutang zon euro yang semakin meruncing kerana tiada kata putus mengenai kerajaan Greece yang mana ia membawa kepada aktiviti mengelak risiko dan menjejaskan matawang Euro.
Harga emas mencecah sesi rendah pada AS$1,559.81 seauns, paling rendah sejak lewat Disember 2011 sebelum pulih sedikit untuk didagangkan pada AS$1,561.81 seauns pada 0951 GMT, turun 1.1 peratus daripada AS$1,578.30 pada lewat dagangan di New York Jumaat lalu. Emas mengikuti jejak aset risiko tahun ini berikutan ketidaktentuan di Eropah menyebabkan euro rendah berbulan-bulan dan pelabur beralih kepada Dolar yang lebih selamat, kata penganalisis.
"Emas kini berada dalam tekanan. Dolar AS dilihat sebagai lindung nilai semasa dan selagi Dolar meningkat berbanding euro ia akan terus menjejaskan harga emas. Saya tidak terkejut jika diuji pada paras terendah pada Disember kira-kira AS$1,520 seauns dan jika penurunan ini tidak berhenti, harga boleh berada di bawah AS$1,500,"kata penganalisis Commerzbank, Daniel Briesemann.
Kebimbangan mengenai krisis zon Eropah kembali selepas perbincangan pakatan di Greece buntu pada Ahad lalu dan pemimpin radikal kiri Greece menolak jemputan presiden untuk rundingan terakhir semalam, yang hanya membawa kesudahan pilihan raya pada bulan depan.
Emas AS untuk Jun jatuh 1.4 peratus kepada AS$1,561 seauns. Ia menunjukkan aktiviti mengelak risiko dalam pasaran kewangan, saham Eropah jatuh pada paras terendah dalam tempoh lebih empat bulan, sementara niaga hadapan lindung nilai German Bund mencecah harga tertinggi.
Pelabur beralih kepada emas sebagai lindung nilai ketika krisis hutang tahun lalu, menjadikannya harga tertinggi pada AS$1,920 seauns. Tetapi tahun ini, emas didagangkan sejajar dengan komoditi yang bergerak bertentangan dengan Dolar. Harga spot platinum jatuh 0.8 peratus kepada AS$1,446.75 seauns, sementara spot paladium jatuh 0.6 peratus kepada AS$593.50 seauns.
Harga platinum dan palladium dijangka terus meningkat menjelang akhir tahun melebihi paras semasa, menurut kaji selidik REUTERS untuk Platinum Week ekoran bekalan terhad dan peningkatan permintaan yang menjadikan pasaran semakin terhad.
Harga spot perak jatuh 1.5 peratus kepada AS$28.40. Sentimen juga dikecewakan oleh tindakan China pada Sabtu lalu yang melaksanakan dasar kewangan lonngar yang mana ia sedikit menjejaskan pasaran global walaupun tidak setanding krisis di Eropah.
Dalam pasaran fizikal, pembuat barang kemas dan spekulator mengambil kesempatan terhadap penurunan harga minggu lalu.
-REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan