HARGA EMAS JARANG MENJUNAM
Jika dulu hanya wanita membeli barang kemas sebagai perhiasan, trend hari ini makin berubah apabila lelaki turut membeli logam berharga itu sebagai pelaburan atau mengekalkan reputasi. Perkara itu diakui oleh Dyana Jewels, Datuk Suhaimi Hashim yang berpengalaman dan kini memiliki beberapa cawangan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, gagasan menguasai ekonomi baru dunia memperlihatkan China dan India sebagai negara paling ramai rakyatnya memiliki emas, diikuti Vietnam.
"Kebanyakan rakyat di negara berkenaan menjadikan emas sebagai aset untuk dilaburkan di kala kehidupan susah. Ini kerana mereka percaya emas tidak pernah susut nilai atau menurun. Hakikatnya, harga emas jarang menjunam berbanding komoditi lain. Tidak hairan jongkong emas kini menjadi pilihan ramai lelaki yang didorong sifat ingin mengekalkan kekayaan kerana harganya sentiasa stabil di pasaran. Kalau jatuh pun,ia hanyalah bersifat sementara. Disebabkan ia pelaburan menguntungkan, emas kini bukan sekadar lambang status diri semata-mata," katanya.
Suhaimi turut membuat perbandingan antara kereta dengan emas. Sebagai contoh, kebanyakan kereta yang dibeli dengan harga RM100,000 akan susut nilai sehingga RM50,000 apabila digunakan selama lima tahun berbanding emas yang dibeli dengan harga RM20,000 mungkin bernilai RM200,000 dalam tempoh lima tahun lagi. Hal ini kerana permintaan terhadap emas sentiasa tinggi berbanding barangan lain.
Sebagai perbandingan, katanya harga satu aun emas cuma RM30 ketika beliau mula menceburi bidang itu 12 tahun yang lalu tetapi kini meningkat tujuh kali ganda. Mengenai emas, Suhaimi berkata,'emas 10' atau 999 iaitu bersamaan 24k (karat 99.9 peratus kandungan emasnya (tulen) paling mahal di Malaysia). Ini diikuti 'emas 95' (950) yang juga dikenali sebagai emas pound (23k iaitu 95.4 peratus kandungan emas tulen) dan 'emas 916'(22 k iaitu 91.6 peratus kandungan emas tulen).
Bagaimanapun, katanya kebanyakan pembeli memilih emas 916 kerana dianggap 'standard' sama ada dari segi harga ataupun piawaiannya.. Bagi mengelak ditipu, Suhaimi menasihatkan bakal pembeli meneliti tanda 'karat' pada perhiasan emas dijual, selain tanda atau cop dagangan untuk mengenal pasti pembuatnya.
Menurutnya, di kebanyakan negara setiap pengeluar barang kemas diwajibkan mengecop simbol karat pada perhiasan emas dan dikawal melalui sistem 'hallmark' (cap kempa) yang berasal daripada Goldsmiths' Hall, London sejak abad ke-14. Peraturan itu diwajibkan di Belanda, Mesir, Britain, Perancis dan Bahrain.
"Di Malaysia, kebiasannya cop diletakkan di kancu emas samada jenis 999, 950, 916. Selain itu, ada juga dicop dengan karat seperti 22k, 18k, 14k. Ada juga dicop bersama tempat pengeluaran barang kemas itu. Ia penting kerana jika tiada undang-undang mengawalnya, pengilang akan sewenang-wenangnya mengecop sendiri barang kemas mengikut cop perusahaan mereka termasuk karat dan ketulenan tanpa pengawasan. Oleh itu, pengguna mesti bijak dan perlu mengambil resit yang mencatatkan jenis emas dibeli. Jika bercanggah dengan apa yang dicatat pada resit, pembeli boleh membuat aduan,"katanya.
Bagaimanapun, bak kata pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam. Suhaimi mengakui hanya segelintir orang dapat mengenal pasti sama ada emas dibelinya tulen atau palsu. Katanya, "Macam saya yang sudah lama di bidang ini, melihat pada jarak tiga meter pun saya dapat agak ia palsu atau tulen. Kita boleh lihat dari segi warna dan beratnya serta pelbagai cara lain. Yang penting, beli barang kemas di kedai emas, bukan daripda orang sembarangan".
"Ada segelintir individu menawar untuk menjual barang kemasnya kepada orang dengan harga terlalu murah dengan alasan terdesak dan perlukan duit segera. Perbuatan ini sesungguhnya mencurigakan kerana kalau benar-benar perlukan wang, dia boleh menjualnya di kedai emas yang membeli dengan harga tinggi. Ia tentunya menimbulkan syak kerana kemungkinan emas itu palsu," katanya lagi.
Suhaimi turut menjelaskan, emas perlu dicampur dengan logam lain kerana ia terlalu lembut sehingga tidak sesuai dipakai seharian. "Emas perlu dicampur dengan logam lain supaya lebih keras dan tahan lasak. Menambahkan logam lain sebagai campuran 'metallurgists' membolehkan anda menukar warana emas. Palladium atau nikel boleh ditambah untuk mencipta emas putih. Tembaga ditambah untuk menghasilkan warna merah atau merah muda."
"Saduran emas adalah proses yang menggunakan kaedah elektrolisis. Lapisan emas pada barang kemas yang menggunakan kaedah saduran biasanya lebih nipis berbanding dalam bentuk emas salutan. Istilah mencuci emas atau mengilatkan barang kemas setahun sekali menggambarkan lapisan emas yang disadur sangat tipis," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan