KEDAI EMAS NYARIS MUSNAH AKIBAT KEBAKARAN
PASIR PUTEH - Kedai emas dalam deretan 11 kedai dua tingkat di Jalan Nara di bandar ini nyaris musnah dalam kebakaran kira-kira jam 11.45 pagi semalam. Beberapa alat pemadam api yang terdapat dalam kedai emas itu menyelamatkan keadaan sementara jentera bomba tiba untuk memadam api secara menyeluruh.
Pemilik kedai berkenaan, Rabiah Sulong berkata, dia mendengar letusan kecil pada bahagian siling kedai sebelum terkejut melihat kepulan asap tebal dari bahagian stor. Beliau yang berada di bahagian kaunter kedai kemudiannya meminta pekerja dan jiran membuat sesuatu ketika api mulai marak.
Menantunya, Aaron Franciscus, 33 yang berada tidak jauh dari situ bergegas ke kedai untuk memadamkan api dengan menggunakan beberapa alat pemadam api yang berada di kedai itu. Aaron berkata, dia terpaksa merangkak untuk memadam api kerana ruang bahagian tengah kedai dipenuhi asap hitam.
"Saya memberanikan diri meredah asap tebal kerana saya tidak sanggup melihat kedai ini musnah, saya menggunakan satu demi satu alat pemadam api dan menyimbah api dengan air yang diberikan jiran. Saya berterima kasih kepada orang ramai dan jiran yang bertungkus lumus membantu dan saya tidak dapat membayangkan kemusnahan teruk yang berlaku sekiranya gagal memadamkan api tersebu", katanya.
Ketika itu, katanya salah seorang anggota keluarga menaiki motosikal ke Balai Bomba dan Penyelamat untuk melaporkan kejadian tersebut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Joharudin Hashim ketika ditemui berkata, ketika bomba dengan kekuatan enam anggota bomba tiba di kedai tersebut, api masih marak.
"Kami berjaya memadamkan api secara menyeluruh di bahagian tengah premis tersebut dan membuat pemantauan bagi memastikan bangunan itu benar-benar selamat sebelum menamatkan operasi,"katanya.
Katanya, pemilik premis perniagaan wajib menyediakan alat pemadam api kerana ia boleh menyelamatkan premis dalam kes kebakaran seperti itu selain menyimpan nombor telefon Balai Bomba dan Penyelamat.
Sumber : Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan