Sabtu, 22 September 2012

LESAP BERSAMA JONGKONG EMAS

SANTONG,Terengganu - "Saya harap adik lelaki saya segera pulang kerana ibu amat merindukannya," kata NorHidayah Shaffee,25, kakak kepada Mohd Shukri,23 seorang broker sambilan yang dilaporkan hilang setahun lalu selepas dipercayai melarikan jongkong emas milik arwah bapanya.

Norhidayah berkata, selepas bapanya meninggal dunia September 2011 lalu, adik lelakinya itu yang tinggal berasingan di rumah sewanya dekat Gong Gemia secara tiba-tiba menghilangkan diri menyebabkan Norhidayah dan 11 beradik lain hilang punca setelah menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka peninggalan arwah bapanya.

Kata Norhidayah, kehilangan adik lelakinya yang juga anak kesembilan daripada 12 beradik itu menjadi tanda tanya apabila Mohd Shukri turut melarikan seketul jongkong emas bernilai kira-kira RM100,000 milik arwah bapa mereka yang diamanahkan kepadanya untuk menjaga dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dibeli arwah ketika hayatnya.

"Dia mungkin sudah menjual jongkong emas itu dan takut hendak pulang kerana pasti disoal kami adik beradik. Namun, itu bukan masalahnya, kalau tidak pulang, kami sukar menyelesaikan hal pusaka arwah, "katanya.

Menurut Norhidayah, mereka sudah puas mencari Mohd Shukri namun adik lelakinya itu turut bekerja sebagai sebagai kontraktor sambilan gagal dikesan.

"Kami sedia memaafkan kesalahan Mohd Shukri seandainya dia sudah menjual emas itu. Jika dia baca kisah ini, harap pulang segera,"katanya.

Katanya lagi, paling penting dia mahu darah dagingnya itu pulang ke pangkuan keluarga kerana hubungan adik-beradik tidak akan terputus walau apa yang berlaku sekalipun. Norhidayah juga sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan Mohd Shukri.

Sumber : Sinar Harian

Tiada ulasan: