Khamis, 22 Ogos 2013

Pelaburan emas: Bagaimanakah caranya menurut perspektif Islam?


Emas kini semakin mendapat tempat di hati para pelabur terutama selepas beberapa siri kemelesetan dan krisis ekonomi yang melanda dunia. Fenomena pelaburan emas disemarakkan lagi dengan kenaikan harga emas saban tahun ini menjadikan pelaburan emas sangat terjamin dari sudut pulangannya.

Justeru, pelaburan emas diseluruh dunia amnya dan di Malaysia khasnya semakin rancak dan disertai oleh pelbagai golongan dalam pelaburan emas mendorong banyak syarikat-syarikat  dengan pelbagai pelan diperkenalkan. Tetapi malangnya, di pasaran hari ini, kebanyakan bentuk pelaburan emas yang dipasarkan tidak menepati hukum-hukum muamalat tetapi telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan masyarakat Islam.

Bagi menjawab dan mencari jawapan kepada permasalahan ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Akademi Antarabangsa Kajian Syariah Dalam Kewangan Islam (ISRA), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Persatuan Institusi-institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) telah berjaya mengadakan Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia Kali Ke-8, pada 29 Mei 2012 bertempat di Dewan B1, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Isu produk-produk emas dan pelaburannya dari perspektif syariah merupakan fokus utama perbincangan.
  
Muzakarah telah dipengerusikan oleh. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin dan disempurnakan oleh Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut serta dalam muzakarah kali ini, pakar rujuk muzakarah iaitu S.S Dato’ Haji Hassan bin Haji Ahmad. Seramai 204 orang peserta yang terdiri dari kalangan panel penasihat syariah bank  dan takaful, ilmuan syariah, ulama, ahli ekonomi dan pegawai syariah bank telah turut serta dalam muzakarah kali ini.

Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan sepanjang muzakarah ini iaitu:
  1. Emas dan Pelaburan Daripada Perspektif Syariah yang dibentangkan oleh Dr. Akhtarzaite binti Abdul Azizi (UIAM)
  2. Analisis Syariah terhadap produk-produk pelaburan emas di Malaysia yang dibentangkan oleh Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain dan Ustaz Mohd Bahroddin bin Badri (ISRA)
  3. Produk Pelaburan Emas di Malaysia: Satu kajian mengikut perspektif Fiqh Islam yang dibentangkan oleh Ustaz Burhanuddin bin Lukman (UIAM)
Melalui muzakarah sehari ini, tiga rumusan muzakarah telah diputuskan antaranya “Muzakarah memperakukan Parameter Pelaburan Emas yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13 hingga 15 Oktober 2011 perlu dipatuhi oleh para pelabur dan peniaga muslim dalam aktiviti pelaburan dan jual beli emas”.


                                          
Barisan tetamu kehormat dalam majlis perasmian Muzakarah yang disempurnakan Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

                                        
YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha (Ketua Pengarah Jakim) menyampaikan ucapan alu-aluan.

                                       
Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), memberi ucapan dan seterusnya merasmikan Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia. 

Tiada ulasan: