Ahad, 29 September 2013

Empat Hari, Lima Pingat Emas Di ISG 2013


PALEMBANG, 26 Sept (Bernama) -- Pencapaian cemerlang kontinjen Malaysia mengumpul lima pingat emas sehingga hari keempat Temasya Sukan Perpaduan Islam (ISG) ketiga membuktikan atlet negara berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi cabaran seterusnya di Sukan SEA di Myanmar Disember ini.

Malaysia kini mengumpul lima pingat emas, tiga pingat perak dan tujuh pingat gangsa.

Ketua Kontinjen negara Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata isyarat positif itu membuktikan atlet negara setanding dengan atlet dari negara-negara timur tengah, malah Malaysia dilihat lebih baik daripada mereka (negara Arab) dalam acara sukan tertentu seperti renang dan karate.

"Tahniah kepada atlet negara yang telah berjaya membuktikan kemampuan mereka di temasya ini dan saya harap mereka (atlet) akan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menambah koleksi pingat emas negara sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia.

"Saya yakin bahawa atlet negara mampu mencapai kejayaan yang lebih besar di Palembang dan mengatasi pencapaian lima pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa sewaktu ISG pertama di Arab Saudi lapan tahun lepas," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Pada edisi pertama di Arab Saudi pada 2005, Malaysia menduduki tempat ketujuh daripada 57 negara di kalangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) setelah berjaya meraih lima pingat emas, lima perak dan enam gangsa.

Megat Zulkarnain berkata kejayaan itu merupakan hasil usaha bersama banyak pihak antaranya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan beberapa agensi lain yang bergerak secara bersama sebelum ini.

"Saya optimis bahawa lebih banyak pingat mampu diraih oleh atlet negara sebelum temasya sukan ini melabuhkan tirai secara rasmi pada 1 Okt," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga hari ini kontinjen negara tidak berdepan dengan banyak masalah sepanjang berada di Palembang dan pihak tuan rumah berjaya mengatasi beberapa masalah yang timbul sebelum ini dengan baik hasil perbincangan pada mesyuarat ketua kontinjen.

"Saya memuji kesungguhan penganjur yang peka dengan masalah dihadapi negara-negara yang mengambil bahagian walaupun mereka hanya membuat persiapan dalam jangka masa dua bulan untuk menganjurkan sukan negara Islam terbesar ini," katanya.

Tiada ulasan: