Rabu, 15 Februari 2012

EMAS DAN WANITA...TAK DAPAT DIPISAHKAN...

"Besi berharga" jadi buruan sejak berzaman terus digilai hingga kini

Tiada sebarang kenyataan rasmi mengenai emas perlu dikaitkan dengan wanita, namun masyarakat sejak dulu memperakui emas adalah barang paling akrab dengan golongan hawa kerana secalit kilauan emas pada wanita, penampilan mereka dirasakan seperti tidak sempurna.

Bahkan, papatah Melayu ada mengatakan Hanya Jauhari Mengenal Manikam..wajar ditujukan kepada wanita kerana lazimnya mereka arif mengenai 'kelas' barang kemas terutama jika dinilai dari sudut pertukangan, potongan batu dan nilai batu yang digunakan sama ada serasi atau tidak dengan mereka.

Walau seribu tahun akan datang, emas tetap menjadi pilihan wanita kerana kerlipan emas mampu menaikkan seri wanita, melonjakkan nilai kewanitaan pemakai dan meletakkan wanita dalam keadaan selesa untuk tampil yakin.Hakikatnya, kerlipan emas dikatakan menjadi tarikan sejak beribu tahun dahulu, malah ketika itu barang kemas yang diperbuat daripada emas bukan sahaja menghiasi wanita, bahkan lelaki. Lebih banyak seseorang itu memakai barang kemas, lebih tinggi darjatnya di kalangan masyarakat. Begitu pun, kedatangan Islam menetapkan bahawa lelaki tidak dibenarkan memakai emas menyebabkan kegunaanya lebih cenderung untuk wanita dan kekal hingga hari ini.

Antara mitos popular membabitkan emas, bandar purba lembah Amazon, Brazil yang dikatakan diperbuat sepenuhnya daripada emas dan diketuai oleh wanita. Walaupun sehingga kini tiada siapa dapat mengesahkan cerita itu, bandar mistik berkenaan popular hingga ke hari ini dan menjadi buruan penjarah harta karun kerana tiada siapa tahu lokasi sebenarnya. Selain itu, kaun Inca di Peru yang dikatakan rakyatnya disaluti emas turut menjadikan emas sebagai barang keperluan sehinggakan ada cerita yang mengatakan masih banyak lagi harta karun masyarakat yang sudah pupus daripada bumi itu tersembunyi.

Zaman silih berganti, apabila konsep perdagangan diperkenalkan, emas menjadi antara mata wang utama masyarakat ketika itu untuk berdagang kerana keunikannya. Hari ini, emas masih lagi kekal diminati masyarakat dan di Malaysia, wanita Kelantan antara golongan yang dikatakan pencinta barang kemas itu. Kecenderungan itu dilihat apabila kebanykan wanita di negeri Cik Siti Wan Kembang menyuburkan budaya pemakaian barang kemas diperbuat daripada emas sehingga ada yang berjenaka 'tangan dan leher wanita Kelantan sentiasa disaluti perhiasan emas' bagi menggambarkan minat mereka.

Sebenarnya, bukan sahaja wanita di Kelantan sebaliknya wanita Pulau Pinang juga antara pencinta emas. Bukan seurat dua, bahkan penuh di leher dan tangan dihiasi gelang besar atau rantai emas panjang bersaiz besar. Bagi mereka yang meminati emas, pembelian barang kemas tidak dianggap suatu pembaziran sebaliknya pelaburan kerana jika keadaan terdesak, barang kemas berkenaan boleh dijual balik terutama ketika harga emas meningkat...

Keunikan emas :

  • Air rendaman emas dikatakan mampu menaikkan seri wajah sekiranya anda mengamalkan membasuh muka dengan air berkenaan.
  • Emas juga sering digunakan dalam persolekan dan rawatan wajah. Ada salun spa memperkenalkan rawatan wajah berteraskan emas kepada pelanggan yang ingin menaikkan seri wajah.
  • Pada zaman Firaun, segala harta benda termasuklah emas akan dikebumikan bersama tuan punya hak milik  kerana emas dianggap sebagai barang berharga yang wajar dibawa bersama oleh pemiliknya.
  • Lantaran kuasa emas, ada individu yang taksub dengan kecantikan wajah memasukkan susuk diperbuat daripada emas pada wajah mereka walaupun hal ini diharamkan dalam Islam.
  • Terdapat pelbagai panggilan untuk emas antaranya emas paun, emas kuning, emas merah dan emas putih yang setiap jenis mempunyai nilai berbeza.
  • Emas 916 sesuai digandingkan dengan batu permata seperti kecubung, delima. zamrud dan nilam, tapi tidak boleh digandingkan dengan berlian kerana ia menenggelamkan seri dan kilau berlian yang bersifat karbon itu.
Sumber : shasha@bharian.com.my



Tiada ulasan: