Khamis, 15 Mac 2012

AWAS KAUM HAWA SEKALIAN!!

Makin hari jenayah di Malaysia makin menjadi-jadi.. Jika jenayah yang melibatkan kecurian, mangsa ragut dan ditipu kebanyakan mangsanya adalah perempuan. Kali ini kami di Tamis Gold ingin berkongsi cerita yang telah menyebabkan seorang suri rumah rugi besar,dan mendakwa dirinya dipukau tiga individu yang telah menawarkan khidmat mencuci barang kemas. Jom kita ikuti kisahnya..

PENDANG, Kedah - Seorang suri rumah kerugian besar apabila barang kemas miliknya rosak dan beratnya berkurangan setelah mencuba perkhidmatan mencuci barangan yang ditawarkan tiga individu baru-baru ini. Dalam kejadian jam 11 pagi itu, seorang lelaki dan dua perempuan menaiki sebuah kereta mendakwa dari Jitra, datang ke rumah jirannya menawarkan perkhidmatan mencuci emas.

Mangsa, Aishah Jaafar,58 berkata, ketiga-tiga suspek datang ke rumah jirannya kerana pada masa itu ramai penduduk kampung sedang gotong-royong untk majlis kenduri sempena jirannya yang ingin mengerjakan umrah. "Mereka datang sambil menawarkan perkhidmatan mencuci emas dan menjual emas Korea kepada kira-kira 20 penduduk wanita yang ada pada masa itu.Ketiga-tiga mereka meminta barang kemas yang dipakai beberapa penduduk untuk dicuci dengan hanya mengenakan bayaran sebanyak RM2 untuk satu barang",katanya.

Aishah berkata, pada masa itu seorang daripada tiga suspek itu menarik tangannya dan meminta rantai tangan yang dipakainya untuk dicuci. Menurutnya, dia enggan memberikan barangan terbabit kerana bimbang ditipu. Kata Aishah lagi,"Selepas saya enggan memberikan rantai tangan saya untuk dicuci, saya bertanya sama ada mereka boleh membaiki rantai tangan jenis batu yang putus. Mereka mengakui boleh melakukannya dan terus meminta saya mengambil rantai tangan itu. Disebabkan yakin mereka ingin membaiki rantai tangan, saya mempelawa mereka datang ke rumah. Setibanya di rumah, saya segera mengeluarkan rantai tangan yang terputus itu dan memberikan kepada mereka, namaun setelah melihat barangan terbabit, suspek memaklumkan ia tidak boleh dibaiki"

Katanya, dia seolah-olah dipukau tiga individu terbabit apabila terus membenarkan mereka membuka semua barang kemas yang dipakainya, iaitu seutas rantai tangan dan rantai leher serta mengambil satu gelang lagi dalam bilik untuk dicuci. "Mereka memujuk saya agar semua barang kemas itu dicuci dengan barangan hanya RM2 dan tiga barang milik saya dikenakan bayaran RM6. Mereka mencuci barang kemas dengan cara membakar semua barang kemas saya dan memasukkan semuanya dalam botol dan terus mengoncang kuat botol itu sehinggakan air di dalam botol itu menjadi warna kuning keemasan",katanya.

Menurutnya, selepas proses itu dia tidak perasan gelangnya rosak dan berat barang kemasnya semakin susut sehingga tiga individu terbabit beredar. Aishah berkata, selepas kumpulan licik itu pulang, dia baru tersedar semua barang kemasnya menjadi ringan. "Gelang saya semakin nipis dan rosak, manakala rantai leher menjadi kecil dan bertukar warna hampir kelabu. Saya terkejut kerana semua barang kemas itu telah dibeli lebih enam tahun lalu dengan harga RM4,000 ketika itu, namun semuanya menjadi ringan. Saya cuba untuk menimbang dan mendapati semua berat barang kemas itu hanya 10gram," katanya.

Menurutnya, dia pasti tiga individu itu mencuri emas melalui air khas yang digunakan, sehingga berat barang kemasnya susut. Dalam pada itu, Aishah berkata, dia difahamkan tiga individu itu sudah tiga kali masuk kampungnya menawarkan perkhidmatan mencuci barang kemas, dengan menggunakan kenderaan berlainan setiap kali datang bagi mengelakkan penipuan mereka dikesan.

Sementara itu, anaknya yang enggan dikenali berkata, dia maklum isu ramai penduduk di kawasan bandar tertipu dengan khidmat cuci emas dari rumah ke rumah, dan tidak sangka perkhidmatan itu turut ditawarkan di kampung.

Sumber : Sinar Harian

Tiada ulasan: