SANDARAN MATAWANG WAJIB EMAS DAN PERAK
Greenback atau USD sebenarnya digunakan sebagai standard nilai untuk perdagangan antarabangsa, terutamanya untuk urusniaga minyak mentah, bijirin dan kelapa sawit. Senario kejatuhan USD di pasaran antabangsa yang berterusan secara relatifnya telah menaikkan nilai ringgit. Jadi, kenaikan nilai ringgit sebenarnya bukanlah kerana kekukuhan nilai ringgit itu sendiri, tetapi kerana penurunan nilai USD. Kejatuhan nilai USD inilah yang telah menyebabkan Ahmadinejad menyarankan agar ditukar penggunaan matawang USD ke matawang lain.
Pandangan ini, walaupun nampak bernas, namun teramat serong dan keliru. Ini kerana kejatuhan USD akan sebenarnya mengurangkan lagi kekayaan di dalam sesebuah negara yang memegang kuantiti besar USD, terutama di dalam rizab mereka. Lagi pula, menukar matawang USD kepada matawang lain belum tentu dapat menstabilkan pasaran matawang dan ekonomi itu sendiri. Ini kerana, jika USD yang sudah berpuluh tahun dianggap kukuh, malah menjadi sandaran matawang dunia, itu pun boleh jatuh, apatah lagi matawang lain.Yang belum terbukti 'kekuatannya' di peringkat antabangsa dan mana 'nilai kertasnya' tidak jatuh berbeza dengan 'nilai kertas' USD. Apakah gerenti yang ada bahawa matawang baru ini akan terus kukuh? Apa pun, aspek yang paling penting bagi kaum Muslimin dalam hal ini ialah aspek hukum syarak, maksudnya kewajipan menggunakan sandaran emas dan perak bagi penggunaan matawang. Hal inilah yang tidak pernah dipandang atau diperhitungkan oleh pemimpin umat Islam.
Semua sedia maklum bahawa wang kertas yang ada pada kita sekarang hakikatnya adalah sekeping kertas yang 'tidak bernilai'. Ia boleh diconteng sesuka hati, mudah dikoyakkan dan apabila terkoyak, ia langsung sudah tidak bernilai. Ia mudah terbakar dan hangus apabila dibakar. Wang kertas yang ada sekarang hanya 'bernilai' kerana pemerintah (melalui undang-undang) menyatakannya bernilai (legal tender) dan mereka 'memaksa' kita agar menerima nilai yang tertera di atas kertas tersebut. Sebab itulah, walaupun jenis kertas yang sama, saiz yang sama dan tebal nipisnya pun sama, kemudian diletakkan angka 10 disitu, maka ia akan bernilai RM10, manakala jika ditulis angka 50. Dan apabila kerajaan ingin mengeluarkan wang kertas yang baru dan melupuskan wang kertas yang lama, kerajaan hanya perlu 'menyatakan' dan memaksa kita (melalui undang-undang) bahawa wang yang lama sudah tidak boleh dipakai. Maka pada tarikh itu juga, wang kertas yang tertulis RM50 di atasnya tadi, akan terus menjadi 'sekeping kertas' yang langsung sudah tidak bernilai, kecuali sebagai 'sekeping kertas' semata-mata.
Islam dalam bentuk penyelesaian yang jelas telah menggariskan kepada kita bahawa matawang dalam Islam bukannya 'wang fiat' yang disandarkan kekuatannya kepada undang-undang (legal tender), tetapi Islam telah meletakkan satu 'benda' yang benar-benar bernilai untuk digunakan oleh manusia-emas dan perak. Seiring dengan ini, Islam telah meletakkan hukum hakam yang khusus untuk penggunaan wang ini (emas dan perak) dan menjadikannya wajib untuk dijadikan sandaran. Sebagai seorang Muslim, kita mestilah melihat penggunaan matawang ini dari perspektif syarak,bukannya dari perspektif ekonomi semata-mata yang seolah-olah langsung tidak ada hubungan dengan agama. Kita adalah umat Islam dan kita wajib mempelajari dan melaksanakan ekonomi yang digariskan oleh Islam, bukannya belajar dan melaksanakan ekonomi dalam acuan Kapitalis yang hanya berhukum dengan hukum akal. Justeru, pengembalian kepada standard matawang emas dan perak bukanlah semata-mata untuk menyelamatkan ekonomi negara, malah yang paling utama adalah untuk menyelamatkan diri dari azab Allah SWT. Sandaran matawang kepada emas dan perak merupakan hukum syarak yang jelas di dalam Islam, yang wajib dilaksanakan oleh Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan