GAJET BERSALUT EMAS
Logam emas sinonim sebagai instrumen utama dalam industri, pelaburan dan ekonomi. Namun, emas sama ada emas kuning, merah, coklat, biru, ungu dan hijau mempunyai manfaat yang tidak ternilai. Sebagai contoh, emas coklat banyak digunakan untuk membuat lencana polis dan tentera. Emas juga digunakan dalam industri elektronik, pembinaan bangunan, perubatan, automotif malah industri angkasa lepas.
TELESKOP angkasa Hubble bernilai lebih RM4 billion dilindungi dengan salutan emas |
Enjin Kapal Terbang
"Bukan itu sahaja, emas digunakan untuk kad memori dan cip mikropemproses komputer meja dan komputer riba bagi membolehkan alat itu berfungsi secara lebih efektif dan tahan lama. Emas juga berperanan sebagai pemantul inframerah yang baik dan sering digunakan sebagai lapisan cermin kapal terbang dan lapisan cermin yang tinggi".kata Profesor Madya Datuk Mohd Ali Hassan kepada Jurnal. Tingkap kokpit kapal terbang jet moden disalut lapisan nipis filem emas yang berfungsi memantulkan kesan sinaran matahari serta haba yang terlalu panas. Aloi emas nipis juga digunakan sebagai penyambungan komponen enjin kapal terbang. Menurut The Gold Institute pula, kaca pelindung yang mengandungi emas memantulkan haba menyebabkan suhu sentiasa rendah di bahagian dalam kereta, rumah dan bangunan. Menurut pertubuhan itu lagi aloi sebanyak 35% emas digunakan pada serombong enjin kapal angkasa Space Shuttle Amerika Syarikat yang mana suhunya boleh mencapai 3,300 darjah Celcius. Teleskop Angkasa Hubble bernilai lebih RM4 billion pula turut dilindungi dengan salutan emas bagi mengelakkan alatan itu berkarat selain melindungi sambungan komponen elektriknya.
Begitu juga lebih kurang 70,000 kilogram emas digunakan setiap tahun bagi mengekalkan kecantikan gigi khususnya gigi palsu sejak lebih 400 tahun lalu. Dari sudut perubatan, negara timur sebelum ini secara tradisinya menggunakan ubat yang berasaskan emas sebagai persediaan ubat penyakit seperti ulser kulit. Kepingan ketulan emas juga digunakan sebagai implan untuk membaiki kelopak mata yang sudah hilang fungsi. Untuk industri automobil, cip dan alat sambungan dalam sistem beg udara yang mengandungi emas berperanan mengawal pengeluaran dan pengembangan beg udara kereta.
Bagi Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (Seadpri), Professor Datuk Dr.Ibrahim Komoo, emas tidak digunakan secara meluas dalam bidang elektronik kerana harganya mahal."Walaupun lembut dan tidak berkarat ia digunakan dalam kuantiti yang kecil", katanya. Jangan terkejut kerana 20% daripada bekalan emas datang daripada emas yang dikitar semula seperti barang kemas dan syiling emas.
Menurut seorang usahawan, Silvana Salim, beliau menggunakan partikel emas sebagai bahan untuk produk minyak wanginya. "Million Gold Perfume yang menggunakan emas sebenarnya bermanfaat kepada pemakainya. Antaranya, bau bertahan antara lapan hingga 10 jam selain tahan sepanjang hari jika disembur pada pakaian. Produk minyak wangi itu juga bebas daripada unsur haiwan, tidak melekit dan tidak berminyak apabila dipakai," katanya.
Pelaburan
Tidak cukup bercerita mengenai emas jika tidak berbicara mengenai pelaburan dan jiga perhiasan khususnya kepada wanita. Pengarah Urusan Habib Holdings Sdn,Bhd, Datuk Meer Sadik Habib mengakui perniagaan itu menguntungkan jika urusan jula beli emas melibatkan kuantiti yang besar. "Lucunya ada yang membeli emas untu perkara yang pelik seperti seorang pelanggan membeli rantai emas bernilai lebih RM100,000 untuk anjing peliharaannya,"katanya.
Beliau berkata lagi, "Kegawatan ekonomi yang melanda Eropah dan Amerika Syarikat (AS) kini menyebabkan ramai pengguna mula sedar mengenai kepentingan membeli, melabur dan menyimpan emas. Terdapat peningkatan sehingga 20% bilangan pelanggan yang membeli barang kemas termasuk jongkong emas. Emas sendiri kurang risiko dan tidak begitu terjejas walaupun berlaku perubahan ekonomi dan politik".
Presiden serambi Emas, Mohd Amin Supian berkata, emas sama ada dalam bentuk jongkong, syiling ataupun barang kemas merupakan pelaburan terbaik khususnya apabila nilai komoditi itu terus meningkat sejak kebelakangan ini. Menurut penganalisis, sejak empat tahun lalu harga emas telah meningkat empat kali ganda dan kini mencecah kepada AS$1,600 (RM5,035) setiap auns. Ia dijangka meningkat sehingga AS$5,000(RM15,735) setiap auns menjelang tahun 2020.
"Faktor peningkatan harga itu termasuk kenaikan pendapatan dan permintaan kukuh dari negara-negara Asia, kadar faedah yang rendah di kebanyakkan negara dan pembelian emas secara berterusan oleh bank-bank pusat. Mereka yakin komoditi berkenaan lebih baik berbanding menyimpan mata wang dunia lain," jelasnya.
sumber : megatlutfi.rahim@kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan