Isnin, 5 Mac 2012

EKONOMI DUNIA BERSANDARKAN EMAS

Penggunaan emas sebagai sandaran untuk mata wang dikatakan mampu menjadikan ekonomi dunia lebih stabil. Namun, sistem wang fiat telah lama diperkenalkan dan selesa digunakan oleh kesemua negara. Sukar untuk semua negara bersetuju dengan idea sandaran emas itu kerana faktor politik yang berbeza-beza. Wang fiat adalah wang yang mempunyai nilai disebabkan undang-undang yang ditetapkan oleh sesebuah kerajaan. 
Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, jika sandaran emas digunakan untuk matawang, sistem ekonomi dunia akan lebih berkesan.

Selain itu, ekonomi negara akan lebih stabil bahkan membangun dengan pesat. Sebelum tahun 1971, Presiden Richard Nixon telah menghapuskan sistem standard emas Bretton Woods di Amerika Syarikat. Sejak itu, dunia bergantung kepada mata wang dolar Amerika. Penggunaan mata wang yang tidak bersandarkan emas menyebabkan inflasi kerap berlaku. Sandaran emas dapat menjamin kadar tukaran mata wang yang lebih stabil dan melonjakkan perdagangan antarabangsa kerana pedagang tidak lagi khuatir dengan nilai mata wang yang sentiasa berubah-ubah.

Setiap mata wang yang digunakan di seluruh dunia akan ditetapkan mengikut jumlah emas yang spesifik. Hasilnya dari pergerakan komoditi, wang dan manusia dari sebuah negara ke sebuah negara lain akan menjadi lebih mudah. Kesan lain adalah barangan menjadi lebih murah khususnya barangan keperluan asas yang diimport. Ketua Bank Dunia, Robert Zoellick pernah mencadangkan agar pemimpin dunia mempertimbangkan pengenalan semula standard emas untuk mengawal pergerakan mata wang. Hal ini kerana langkah itu dapat membuatkan pelabur lebih yakin untuk melabur di sesebuah negara lain meningkatkan pembangunan ekonomi.

Tiada ulasan: