Khamis, 12 April 2012

JUAL 3,600KG EMAS

TRIPLENINE Goldworld Gallery (Triplenine), syarikat milik penuh Bumiputera yang menjadikan perkhidmatan jual beli emas terpakai, emas, dinar, barang kemas dan syiling emas kini mengorak langkah apabila membuka cawangan keempat di Jitra, Kedah berikutan keyakinan mendapat pasaran baru yang mampu meningkatkan jualannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rozaini Rosdin berkata, pihaknya turut menyasarkan jualan sehingga 3,600 kilogram(kg) logam itu menjelang suku keempat tahun ini dan sasaran itu dijangka dicapai menerusi pembukaan beberapa pejabat cawangan baru di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, Triplenine kini mempunyai empat cawangan meliputi Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah/Perlis, serta merancang membuka cawangan baru di Sarawak, Sabah, Pantai Timur serta Melaka dan Negeri Sembilan. "Pada suku ketiga dan keempat tahun lalu, Triplenine memperoleh jualan sebanyak 450kg emas manakala 300kg pada suku pertama tahun ini,"katanya pada majlis perasmian Triplenine Cawangan Kedah/Perlis di Jitra, Kedah.

Perasmian dilakukan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Kedah, Zainon Hamzan Stapa. Turut hadir, Pengurus Triplenine Kedah/Perlis, Shahrom Musa dan Pengerusi Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad, Wan Ibrahim Wan Jusoh. Rozaini berkata, pasaran di wilayah Utara dilihat masih kecil, namun berpotensi untuk berkembang kerana kebanyakannya masyarakat masih sinonim dengan skim cepat kaya berbanding dengan pelaburan emas seperti ini.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Kedah/Perlis, Shahrom Musa berkata, pihaknya akan mengadakan siri jelajah Kempen Tukar Wang kepada Emas di sekitar Kedah dan Perlis selama tiga bulan mulai 14 April hingga 12 Mei depan. Pada majlis itu, turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Triplenine Negeri Kedah bersama Koperasi Guru-Guru Melayu Berhad (KGMKB).

Sumber:myMetro

Tiada ulasan: