Isnin, 30 April 2012

PPZ BERI TUMPUAN TINGKAT PEMBAYARAN ZAKAT HARTA

Tahun ini Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan(MAIWP) menyasarkan untuk menggalakkan masyarakat Islam berkemampuan menunaikan zakat harta selain zakat pendapatan. Penolong Pengurus Operasi PPZ, Mohammed Hassan, berkata tahap kesedaran membayar zakat pendapatan meningkat, maka tahun ini PPZ menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat menunaikan zakat harta pula.

Katanya, pada hari ini masyarakat Islam memiliki sumber kekayaan bentuk baru seperti saham amanah, saham urusniaga di kaunter saham,emas dan pelaburan emas. "Kalau kita tengok hasil kutipan zakat keseluruhan tahun lalu, kita mengutip RM341.3 juta dan zakat pendapatan menjadi penyumbang tertinggi iaitu RM231.6 juta diikuti zakat perniagaan (RM54.9 juta) dan zakat harta (RM54.8 juta). Hasil kutipan zakat perniagaan pula mengalami peningkatan iaitu daripada RM33.6 juta pada 2011 bertambah menjadi RM54.9 juta. Justeru, tahun ini PPZ akan fokus atau berkempen untuk menggalakkan umat Islam menunaikan zakat harta. Kita hendak menyedarkan masyarakat yang mampu bahawa zakat bukan setakat pendapatan sahaja, tetapi semua harta yang layak dikenakan", katanya.

Menjelas lanjut, Mohammed berkata kesedaran masyarakat menunaikan zakat harta seperti hasil saham amanah dan saham yang diurusniagakan memang meningkat, tetapi bagi harta lain terutama emas dan pelaburan emas masih kurang ditunaikan. Jelasnya, zakat emas pelaburan ini pula terbahagi kepada dua iaitu emas sebenar adalah bentuk emas semasa seperti jongkong,dinar,syiling emas, emas tidak dipakai atau disimpan yang melebihi 85 gram(gm). 

Cara pengiraan adalah dengan mendarab berat emas tidak dipakai dengan harga semasa (satu gm) dan didarab dengan 2.5 peratus
Contohnya:
100 gram x RM154.28 x 2.5% = RM385.70.

Bagi akaun seperti di Maybank dan Public Bank, setakat yang dimaklumi pihaknya, tiada emas fizikal terbabit dalam pelaburan itu iaitu simpanan emas yang disandarkan padanya untuk pelaburan. Yang wujud hanya buku akaun dan nilai belian emas yang direkodkan dalam buku simpanan serta jual beli berdasarkan nilai emas semasa.

Katanya, dalam kes ini ada isu syariah yang terbabit. Ini kerana jual beli emas atau pelaburan mesti membabitkan juga pemilikan emas secara fizikal walaupun direkodkan nilainya dalam buku akaun. Ini bermaksud sama ada emas itu dipegang di tangan pelabur atau bank sendiri yang menyimpannya, maka ketika itu sah transaksi pelaburan yang berkaitan dengan emas.

Justeru, dalam kes ini katanya, zakat tidak dikira berdasarkan jumlah nilaian emas yang direkodkan, tetapi dikira dan ditaksir berdasarkan jumlah keseluruhan simpanan yang ada atau jumlah pelaburan yang ada pada penghujung tahun. Zakatnya dikira sebanyak 2.5 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan.

"Buku Akaun pelaburan emas di Kuwait Finance House (KFH), menepati ciri-ciri syariah dalam pelaburan emas. Emas sebenar mengikut nilai pelaburan wujud dan boleh dipegang oleh pelabur, tetapi pihak KFH menawarkan khidmat simpanan tanpa mengenakan caj atau upah. Justeru, zakat dikira berdasarkan nilai berat emas yang dimiliki pada penghujung tahun haul yang terdapat dalam buku akaun berdasarkan nilai semasa atau harga emas ketika zakat ingin ditunaikan. Kadar zakat juga sebanyak 2.5 peratus,"katanya.


SUMBER:Harian Metro


Tiada ulasan: