BARANG KEMAS RM15,000 DI KUIL DILARIKAN PENCURI
KLANG : Pelbagai kepingan emas dan barangan kemas dianggarkan bernilai RM15,000 yang disimpan di bawah tiga patung di kuil Sri Muthumariamman, di Jalan Raja Nong Chik, disini dilarikan penjenayah dalam kejadian awal pagi semalam.
Kejadian disedari sami kuil itu, S Bathmanathan, 41 pada jam 5 pagi ketika mahu masuk ke kuil berkenaan untuk bersembahyang dan beliau percaya penyamun memotong pagar bahagian belakang kawasan kuil sebelum menceroboh masuk. Katanya, dia terkejut kerana tiga patung berkenaan yang dikenali sebagai Amman, Murugan dan Vianayagar dimusnahkan, manakala ada kesan cubaan memecah masuk di pintu bersebelahan.
Beliau berkata, kejadian semalam adalah kali keempat berlaku di kuil itu, tetapi kali ini ia paling menyedihkan kerana ketiga-tiga patung dewa disitu dimusnahkan.
"Dalam kejadian sebelum ini saya pernah diacu pisau oleh penyamun ketika bersendirian di kuil ini. Ketika itu datang seorang lelaki meminta tolong saya menuliskan nama anaknya yang baru lahir, tetapi dalam sekelip mata dia mengacukan pisau ke leher saya.
"Saya terpaksa serahkan rantai dan cincin emas yang dipakai," katanya yang menjadi sami di kuil itu sejak beberapa tahun lalu. Berikutan kejadian itu, pengerusi kuil terbabit, V Veeramany, 51 membuat laporan polis pada jam 9 pagi semalam. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kuil berkenaan, N Letchumanan berkata, kerugian dianggarkan RM15,000 apabila semua barangan kemas dan kepingan emas dibawah patung berkenaan dilarikan.
"Ini perbuatan penjenayah dan tidak ada kena mengena dengan apa-apa pun. Penjenayah hanya mahu melarikan kepingan emas dan barang kemas dihadiahkan penganut agama Hindu di kuil itu," katanya.
Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan, dilihat memasuki kuil berkenaan jam 10 pagi sejurus menerima laporan. Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Bendahari UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Rosli Mohd Amin turut melawat tempat kejadian pagi semalam dan menyatakan simpati kepada semua ahli jawatankuasa kuil berkenaan serta meminta semua pihak menunggu siasatan penuh polis.
Dr Siti Mariah berkata, perbuatan itu amat tidak bertanggungjawab kerana membabitkan rumah ibadat, tetapi menolak ia ada kaitan dengan motif lain, kecuali perbuatan jenayah.
Sumber : bhnews@bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan