Khamis, 10 Mei 2012

Harga emas jatuh ke paras terendah dalam tempoh empat bulan, semalam ditekan oleh nilai euro yang lemah apabila pelabur bimbang terhadap masalah politik di Greece yang mengancam menjerumuskan negara itu kepada kekalutan serta usaha zon euro untuk mengakhiri krisis hutang.


Spot emas jatuh kepada serendah AS$1,586.74 seauns, paras yang tidak pernah disaksikan sejak awal Januari lalu, sekaligus meneruskan penurunan dua peratus daripada sesi sebelumnya.
Ia kekal pada AS$1,593.56 petang semalam. Emas Amerika Syarikat (AS) juga jatuh ke paras terendah dalam empat bulan pada AS$1,587.40.


Calon Perdana Menteri haluan kiri di Greece setakat ini gagal membentuk kerajaan, apabila tentangannya kepada rundingan menyelamat dilihat mustahak untuk ekonomi tidak diterima parti arus perdana serta menggoncang keyakinan pasaran yang zon euro akan dapat keluar daripada krisis hutang.


Pelabur yang gusar beralih kepada aset selamat seperti dolar dan German Bund, manakala emas kekal tidak diminati bersama euro dan aset lebih berisiko. Mata wang euro menuju kerugian untuk sesi kelapan berturut-turut berbanding dolar dan jatuh hampir ke paras terendah dalam tiga bulan.


"Situasi di Eropah adalah sukar, namun apa yang berlaku adalah apa-apa sahaja yang dikaitkan dengan risiko akan dijual, walaupun risiko sebenar yang berkaitan dengan produk ini adalah kurang daripada apa yang ditunjukkan oleh pergerakan harga," kata ahli strategi logam kanan di ANZ Singapura, Nick Trevethan.


Penganalisis menjangkakan paras sokongan seterusnya untuk emas adalah AS$1,580 selepas ia melepasi AS$1,620, iaitu paras rendah lingkungan harga yang kekal selama sebulan, serta paras psikologi penting AS$1,600 dalam sehari. Peniaga mengesan kenaikan dalam belian di pasaran Asia, apabila peserta pasaran meninjau mengambil kesempatan daripada penurunan ketara harga selepas beberapa minggu harganya dalam aliran meningkat.


"Terdapat banyak belian dalam bahagian fizikal walaupun harganya masih menurun, kerana orang ramai masih selesa membeli pada harga di bawah AS$1,600," kata seorang peniaga berpangkalan di Singapura.
-REUTERS

Tiada ulasan: