Sabtu, 12 Mei 2012

ALIRAN EMAS MENJEJAKI PASARAN SAHAM

Harga emas susut lebih setengah peratus semalam, menjejaki pergerakan pasaran saham, berikutan pelabur masih lagi bimbang akan krisis hutang yang melanda Eropah dan kesannya kepada pertumbuhan ekonomi global. Emas, sungguhpun secara tradisinya dilihat sebagai selamat, turut menerima kesan daripada penjualan aset berisiko seperti ekuiti, logam perindustrian dan minyak mentah minggu ini, memaksa pelabur dan spekulator untuk menjual jongkong untuk menampung kerugian di pasaran lain.

Emas jatuh AS$11.02 seauns kepada AS$1,582.71 pada 0644 GMT selepas saham di Asia dilanda laporan kerugian AS$2 billion yang dialami JPMorgan disebabkan kegagalan strategi lindung nilai, kekacauan politik di zon euro dan juga data ekonomi lemah dari China. Jongkong emas dijangka jatuh lebih tiga peratus minggu ini, kejatuhan terbesar sejak awal Mac. 

"Kita masih tidak pasti berhubung apa yang berlaku di zon euro. Buat masa ini, saya berpendapat emas akan diniagakan sebagaimana aset berisiko lain dan ia berkemungkinan menjejaki pergerakan harga saham. Paras sokongan ialah kira-kira AS$1,500,"kata penganalisis di Philip Futures Singapura, Lynette Tan.

Harga emas AS bagi penghantaran Jun susut AS$12.50 kepada AS$1,583.00, selepas naik buat seketika pada AS$1,600 Khamis. Indeks MSCI bagi saham Asia Pasifik di luar Jepun jatuh ke paras terendah sejak Januari dengan pelabur masih berhati-hati untuk mengambil risiko disebabkan isu politik dan ketidaktentuan di zon euro.

Pelabur beralih kepada emas sebagai pelaburan selamat ketika krisis hutang tahun lalu, menyebabkan harga komoditi itu mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada AS$1,920 seauns. Tetapi tahun ini, jongkong emas diniagakan sejajar komoditi lain yang bergerak arah songsang berbanding dolar AS.

Euro jatuh ke paras terendah tiga setengah bulan Jumaat berikutan berita kerugian yang dialami JPMorgan kerana kegagalan strategi lindung nilai. Jerman memberi amaran kepada Greece Khamis bahawa rakan-rakan di Eropah hanya dapat membantu negara itu sekiranya ia mematuhi program jaminan antarabangsa yang ditolak pengundi dalam pilihan raya umum lalu.

Di pasaran fizikal, harga lebih lemah mencetuskan pembelian daripada Thailand, Indonesia dan India. Premium bagi jongkong emas di Singapura naik kepada AS$1.10 daripada AS$1.0 yang disebut harga di Londoh Khamis.
-REUTERS

Tiada ulasan: