Sabtu, 23 Jun 2012

EMAS MULA MENINGKAT NAIK

Emas mencatatkan pertumbuhan awal semalam selepas merekodkan kerugian mingguan terbesar sejak Disember sekaligus meningkatkan kebimbangan bahawa kelembapan ekonomi global memberi tekanan kepada komoditi yang mendorong pelabur beralih kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

Emas kehilangan status pelaburan selamat selepas pasaran kewangan mengalami kegawatan ekoran krisis hutang berpanjangan di Eropah dan keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) menggunakan hanya satu langkah sederhana bagi meningkatkan ekonomi mendorong pelabur mengambil kesempatan menjual jongkong emas untuk menampung kerugian.

Dengan pemulihan ekonomi AS masih lemah, kadar pengangguran pada 8.2 peratus dan krisis hutang Eropah masih berterusan, ia mewujudkan harapan bahawa Fed akan mungkin melancarkan lebih daripada tindakan bukan konvensional termasuk pusingan ketiga program pembelian bon jangka panjang yang dikenali pelonggaran kuantitatif.

Emas meningkat pada sesi dagangan awal kepada paras tertinggi sekitar AS$1,568 seauns sebelum susut kepada AS$1,563.50 pada 0614 GMT merosot sebanyak AS$1.92. Jongkong susut 2.5 peratus pada Khamis, penurunan terbesar satu hari sejak akhir Februari selepas Fed menghentikan pelancaran pusingan berikutnya pelonggaran kuantitatif.

"Pasaran masih menunggu kemungkinan bahawa Fed melaksanakan lebih banyak langkah dasar untuk merangsang pertumbuhan," kata pakar strategi komoditi Societe Generale di Hong Kong, Jeremy Friesen. Niaga hadapan emas AS untuk penghantaran Ogos susut AS$1.10 seauns kepada AS$1,564.40.

Emas mencatat rekod sekitar AS$1,920 pada 2011, apabila pelabur beralih kepada logam berharga ketika krisis hutang di Eropah. Namun tahun ini, penurunan dalam pasaran lain menyebabkan pelabur menjual emas untuk mendapatkan wang tunai menyaksikan harga jatuh ke paras terendah lebih daripada tempoh empat bulan kepada AS$1,527 pada pertengahan Mei.

Harga emas yang lebih rendah mendorong aktiviti belian oleh peniaga di Hong Kong, bagaimanapun jumlah lebih rendah menyaksikan pengguna menunggu penurunan berikutnya. "Terdapat 'pencari barang murah' hari ini, namun saya fikir mereka tidak agresif,"kata peniaga di Hong Kong.
-REUTERS

Tiada ulasan: