Rabu, 13 Jun 2012

JATUH DI BAWAH PARAS AS$1,590

Harga emas jatuh di bawah paras AS$1,590 seaun semalam berikutan kebimbangan terhadap keberkesanan pakej bantuan kewangan bagi bank Sepanyol dan menjelang pilihan raya di Greece yang menjejaskan keyakinan terhadap prospek euro. Harga komoditi lain juga lemah, dengan harga minyak mentah jatuh ke paras terendahnya pada tahun ini dan logam asas seperti tembaga dan aluminium turut susut.
Harga emas jatuh 0.4 peratus pada AS$1,589.06 seaun, sementara harga emas hadapan Amerika Syarikat(AS) bagi penghantaran Ogos jatuh AS$6.30 seaun pada AS$1,590.50.

"Harga emas kini menunggu petunjuk baru, tetapi saya berpendapat ia menunggu petunjuk daripada AS berbanding Eropah,"kata penganalisis Natixis, Nic Brown. (Kami memerlukan) lebih banyak petunjuk yang jelas dari AS sama ada data ekonomi yang mencatatkan kemajuan atau data lemah yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi perlahan, dan dengan itu Rizab Persekutuan AS perlu melakukan sesuatu".

"Bagi saya, tumpuan pasti di sebelah Atlantik. Pada masa sama, harga emas akan naik atau jatuh bergantung kepada pergerakan euro berbanding dolar AS,"katanya. Harga emas pulih daripada paras terendah yang dicatatkan pada awal dagangan kerana euro kukuh berbanding dolar AS, dengan tekanan jualan didorong oleh kebimbangan berhubung pakej penyelamatan bank Sepanyol, tetapi mata wang itu masih terdedah kepada risiko menjelang pilihan raya Greece Ahad ini.

Penganalisis pasaran yang memantau pergerakan harga sebelum ini memerlukan petunjuk baru untuk aliran baru. Dalam nota penyelidikannya, penganalisis teknikal di Societe Generale berkata, paras sokongan adalah pada AS$1,587. Barclays Capital berkata dalam nota penyelidikannya, ia melihat paras sokongan dalam tempoh terdekat adalah pada paras AS$1,579 seauns.

"Minat jualan hampir kepada paras 1650 yang mengekalkan harga emas dalam julat pertengahan tahun bermusim," katanya. Mengenai prestasi logam berharga lain, perak jatuh 0.1 peratus pada AS$28.46 seaun. Jumlah stok simpanan Comex berada hampir pada paras tertingginya sejak 1997 iaitu 143.5 juta seaun.
-REUTERS

Tiada ulasan: