KEDAI EMAS RUGI RM300,000
KUALA KRAI - Penjenayah melarikan barangan kemas bernilai kira-kira RM300,000 selepas memecah masuk sebuah kedai emas di Jalan Sultan Yahya Petra, dekat sini, awal pagi semalam. Suspek disyaki masuk melalui bangunan sedang dalam pembinaan bersebelahan sebelum memasuki kedai emas melalui bumbung dan menyelinap masuk ke kedai berkenaan selepas memotong pintu besi di dalamnya.
Penjenayah kemudian menebuk lubang pada dinding bilik peti besi simpanan emas sebelum melarikan barangan kemas dalam bilik berkenaan. Pemilik kedai emas terbabit, Lew Siao Ping,48 berkata, kejadian disedarinya sebaik sahaja membuka pintu belakang premis itu pada jam 5.30pagi semalam.
"Bila buka pintu jeriji belakang kedai, saya nampak pintu besi terbuka (terkopak) bekas kena potong. Saya terus periksa bilik simpanan emas dan tengok ada lubang manakala barangan kemas semuanya sudah hilang. Biasanya, saya tidur di kedai tetapi semalam(kelmarin) saya ada hal dan terpaksa balik tidur di rumah,"katanya yang sudah menjalankan perniagaan di premis itu sejak 18 tahun lalu.
Siao Ping berkata, kali terakhir dia berada di premis itu kira-kira jam 8.30 malam kelmarin sebelum pulang ke rumahnya di Taman Kim Bee, tidak jauh dari situ. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritenden Abdul Rahman Ja'apar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda.
-Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan