Ahad, 22 Julai 2012

GENG CURI BARANG KEMAS TUMPAS

SHAH ALAM : Polis berjaya menahan tujuh lelaki warga asing termasuk dua beranak yang didakwa mencuri barangan kemas bernilai RM2 juta di kaunter teksi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada 18 Julai lalu.

Mereka terdiri daripada tiga warga Costa Rica termasuk seorang wanita, dua lelaki anak beranak dari Colombia, seorang wanita Mexico dan seorang wanita Uganda yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Semantan, Kuala Lumpur pada jam 2.22 petang semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata pihaknya turut menemui semula beg berisi 309 barang kemas dan perhiasan bertatah berlian serta rambut palsu di dalam rumah yang disewa oleh sindiket berkenaan. Menurutnya, ujian air kencing juga menunjukkan tiga daripada empat lelaki yang ditahan positif ganja.

"Polis KLIA menerima aduan daripada seorang pengurus syarikat berumur 53 tahun yang baru tiba dari Hong Kong pada 18 Julai lalu menyatakan beg yang dibawa berisi barang kemas untuk pameran barang kemas di Kuala Lumpur City Center (KLCC) dicuri semasa dia berurusan di kaunter tersebut. Siasatan pada rakaman kamera litar tertutup di KLIA mendapati terdapat dua wanita bertudung memerhati pengurus tersebut sebelum salah seorang daripada mereka berpura-pura berbual dengan pengurus itu sementara seorang lagi rakannya bertindak melarikan beg,"katanya kepada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor disini semalam.

Mengulas lanjut, Tun Hisan memberitahu pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menyelidik latar belakang semua suspek termasuk dua orang yang mendakwa merupakan pelajar kolej di Puchong dan Kajang.
sumber : kosmo

Tiada ulasan: