ELAK KEDAI EMAS DIROMPAK
Polis Kelantan menasihatkan pengusaha kedai emas mempertingkatkan tahap keselamatan di premis perniagaan dengan menyediakan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi. Langkah ini dilakukan supaya ia dapat mengelak kejadian rompakan berulang di samping memudahkan pihak berkuasa mengesan suspek yang terlibat.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK), Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, setakat ini enam kes pecah masuk kedai emas sudah dikenal pasti di negeri ini termasuk dua kes di Tumpat, Pasir Mas (1), Kota Bharu (1), Kuala Krai (1), dan Pasir Puteh (1).
"Modus operandi penjenayah terbabit hampir sama, apabila mereka menggunakan teknik menebuk siling dan dinding premis bagi melakukan rompakan. Kita sudah mengenal pasti penjenayah yang melakukan rompakan terbabit yang dipercayai lebih dari seorang dan masih lagi menjalankan siasatan terhadap kes terbabit," katanya demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis dialog bersama pengusaha, peraih emas dan pengurus bank di Kelantan Trade Center (KTC), disini kelmarin.
Hadir sama menyampaikan ceramah dan memberi penerangan, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Bahagian Operasi, Supritendan Zainol Samah. Program julung kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan dari lebih 50 peserta yang terdiri daripada pengusaha, peraih emas serta pihak pengurusan bank di sekitar Kelantan.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata kebanyakkan kedai emas di negeri ini sudah mempunyai kamera litar tertutup di premis masing-masing namun kadangkala ia menyukarkan pihaknya melakukan siasatan apabila rakaman yang dipaparkan kurang jelas.
"Kita tidak dapat mengecam wajah suspek kerana rakaman terbabit kabur jadi usaha kami untuk mengesan mereka juga sukar, sekiranya rakaman seumpama itu dipaparkan. Harapan pihak polis supaya peniaga dapat mengemaskini tahap keselamatan di premis mereka bagi memudahkan kami menjalankan siasatan dan menangkap penjenayah yang terlibat,"katanya.
-Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan