RAS ALIMI HASILKAN BARANG HIASAN EMAS DAN PERAK
KOTA BHARU : Ketika ramai rakan sebaya masih tercari-cari rentak hidup, Ras Alimi Raslan,23 aktif menghasilkan barang hiasan seperti cincin dan rantai daripada emas dan perak. Walaupun kehilangan kedua-dua orang tua, anak sulung daripada empat adik-beradik itu tidak mensia-siakan usia muda, sebaliknya membina kerjaya dalam bidang keusahawanan.
Berbekalkan modal peninggalan bapa dan pembelajaran cara membuat barang logam daripada pusat kraf tangan, Ras Alimi dari Lorong Pak Mud, Batu 2, Jalan Pengkalan Chepa kini mahir menghasilkan barangan itu dan mampu menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
Anak muda berkulit hitam manis itu berkata dia tidak menyangka minatnya menghasilkan barang kraf tangan sejak di bangku sekolah, kini boleh memberikan pendapatan dan mampu menyara hidup keluarganya.
PERLU KESABARAN
Bapa kepada seorang cahaya mata itu, berkata bukan satu perkara yang mudah untuk membuat barang logam yang boleh menarik minat pelanggan kerana memerlukan kesabaran dan minat serta minda perlu sentiasa berada di luar tekanan.
"Sungguh berbeza membuat kerja yang kita suka kerana apabila minat mula menguasai diri, kita akan tekun dan bersungguh-sungguh melakukannya tanpa menganggap ia sebagai satu beban," katanya.
Baginya, kepuasan hati pelanggan sangat penting dan dia sentiasa mengelak daripada melakukan kerja dalam keadaan tertekan. Jika dirinya berada dalam keadaan tertekan, beliau akan melakukan kerja lain terlebih dahulu seperti menanam pokok bunga bagi memastikan barangan yang bakal dihasilkan menepati citarasa pelanggan.
Ras berharap anak muda bersikap lebih berdikari dalam menentukan cara hidup mereka dengan menjadikan sesuatu benda yang mereka minat itu sebagai tapak untuk mencapai kejayaan dalam hidup masing-masing.
Sumber : Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan