Sabtu, 28 Julai 2012

TIPU BANK : TEMBAGA DISADUR EMAS TULEN


  • Sindiket yang memperdaya sebuah bank tempatan sehingga kerugian RM75 juta menggunakan modus  operandi menyadur kepingan tembaga menggunakan emas tulen.
  • Lebih licik lagi ia mempergunakan penduduk kampung dengan menawarkan upah antara RM300 hingga RM800 seorang bagi mencagarkan emas palsu tersebut ke sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.
  • Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan mendedahkan, kes yang sama turut berlaku di enam negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Melaka.
  • Di Pulau Pinang, Ketua JSJK negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, sebanyak 14 laporan diterima membabitkan jumlah kerugian sebanyak 5.2 juta.
Seramai 43 penduduk kampung di Daerah Barat Daya dikesan telah dipergunakan sindiket tersebut, seorang lelaki dipercayai orang tengah telah diambil keterangan bagi membantu siasatan manakala dalang yang telah dikenal pasti sedang diburu.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan modus operandi dalam kes sebuah bank tempatan ditipu RM75 juta iaitu dengan menyadurkan kepingan tembaga menggunakan emas tulen. Disebabkan itu, pihak bank gagal mengesan ketulenan emas berkenaan ketika membuat tapisan pertama melalui timbangan menyebabkan pinjaman diluluskan.

Lebih licik, sindiket itu mempergunakan penduduk kampung dengan menawarkan upah RM300 hingga RM800 seorang bagi mencagarkan emas palsu tersebut ke sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahnu. Sejurus pinjaman diluluskan dan pembayaran dibuat, wang tersebut akan diserahkan kepada sindiket dan wang upah akan diberikan kepada penduduk kampung tersebut.

Bagaimanapun, selepas tempoh tertentu dan melalui ujian seterusnya menerusi Unit Penyiasatan Kewangan, pihak bank menyedari terdapat tembaga di dalam emas berkenaan sehingga membawa kepada terbongkarnya kegiatan sindiket terbabit.

Sindiket penipuan berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi sama di cawangan-cawangan bank tersebut di seluruh negara. Kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Azizan, beberapa tangkapan telah dibuat untuk membantu siasatan kes itu tetapi beliau enggan mendedahkan bilangan mereka yang terlibat. Beliau turut enggan mendedahkan secara terperinci pecahan kerugian dan bilangan kes dilaporkan di negeri-negeri terlibat kerana siasatan masih dijalankan.

"Polis akan menemui pegawai bank tempatan bagi membincangkan kelemahan yang boleh diatasi dalam sistem pajak gadai tersebut. Kes tersebut masih dalam peringkat siasatan dan operasi memburu suspek sedang dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua JSJK Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata seramai 43 penduduk kampung di Daerah Barat Daya negeri dikesan telah menggunakan sindiket berkenaan untuk mencagar emas palsu yang dibekalkan kepada mereka.

"Seorang individu dipercayai orang tengah yang berperanan mempengaruhi orang kampung berkenaan turut diambil keterangan bagi membantu siasatan, Dalang kes ini telah dikenal pasti dan sedang diburu,"kata Roslee.

Tiada ulasan: