Rabu, 22 Ogos 2012

TEBUK LUBANG UNTUK KEBAS EMAS









MELAKA - Sekumpulan penjenayah bertindak licik apabila menebuk dinding papan lapis di tiga buah kedai sebelum menceroboh kedai emas untuk melarikan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM350,000 di sebuah kedai emas di Jalan PMS 1, Plaza Melaka Sentral semalam.

Dalam kejadian antara jam 12 tengah malam hingga 4 pagi itu, suspek yang dipercayai lebih daripada dua orang telah menebuk dinding papan lapis sebuah butik andaman pengantin, pusat kecantikan, kedai kosong dan kedai emas itu sendiri. Dinding kelima melibatkan dinding di dalam kedai emas itu yang dijadikan tempat menyimpan sebuah peti besi berisi barang kemas. Saiz setiap lubang yang ditebuk boleh memuatkan seorang lelaki dewasa. Penjenayah turut melarikan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam kedai emas itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritenden R Gunarajan berkata, suspek dipercayai menggunakan gerudi dan alat pemotong besi untuk menebuk dinding empat kedai berkenaan. Menurutnya, kejadian disedari pemilik kedai emas itu, Tan Teong Leong,50 selepas menerima panggilan daripada pemilik bangunan tersebut yang ternampak pintu belakang butik pengantin terbuka, kira-kira jam 8 pagi semalam.

"Sejurus tiba, dia (Tan) terkejut apabila mendapati dinding papan lapis di bahagian belakang premisnya itu sudah ditebuk. Selain itu, suspek menebuk dinding di bahagian dalam kedai emas berkenaan untuk memasuki kawasan yang menempatkan peti besi barang kemas", katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Gunarajan memberitahu, hanya sebahagian barang kemas yang diambil dalam peti besi tersebut manakala sebahagian lagi barangan kemas itu gagal diambil kerana lapisan  peti besi tersebut gagal dipecah sepenuhnya.

"Siasatan awal mendapati peti besi itu mengandungi 15 dulang emas yang disimpan pemilik selepas tamat operasi perniagaan setiap hari. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan iaitu pecah masuk dalam bangunan", katanya yang meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Tan berkata awalnya dia menyangka premis lain yang dipecah masuk kerana pemilik bangunan hanya memberitahu pintu belakang terbuka. Tan terkejut apabila tiba di tempat kejadian, beliau mendapati kedai emas yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu telah dirompak.

"Sebaik tiba, saya terkejut mendapati kedai emas saya dimasuki penjenayah yang turut menebuk dinding dan membuat lubang pada peti besi sebesar saiz bola keranjang dan melarikan barang kemas. Mereka melarikan barang kemas. Peti besi berkenaan turut mengandungi wang tunai RM10,000, tetapi saya tidak pasti samada wang itu dilarikan atau tidak," katanya.



Tiada ulasan: