Isnin, 24 September 2012

Harga emas berlegar pada paras tertinggi bagi tempoh enam bulan setengah minggu lalu, meningkat 0.2 peratus kepada AS$1,770.76 seauns, dirangsang oleh langkah agresif Rizab Persekutuan, Bank of Japan (BoJ) dan European Central Bank (ECB) bagi meningkatkan ekonomi.

Peningkatan di pasaran lain turut mendorong kepada peningkatannya. Saham Eropah dan mata wang euro meningkat kembali dan minyak melonjak daripada paras terendah 1-1/2 bulan kerana pelabur yang kembali semula ke pasaran masih merasakan manfaat daripada langkah sokongan bank pusat.

Harga emas meningkat 0.4 peratus pada AS$1,773.44 seauns manakala harga emas hadapan Amerika Syarikat bagi penghantaran Disember meningkat AS$6.10 seauns kepada AS$1,776.30. BoJ adalah bank pusat yang terkini melancarkan langkah pelonggaran minggu lalu, selepas Rizab Persekutuan mengumumkan program pembelian aset yang agresif dan European Central Bank melancarkan rancangannya untuk membeli bon di zon euro yang terjejas teruk dengan hutang dalam bulan ini.

Langkah Rizab Persekutuan secara khususnya, yang menyaksikan pembelian AS$40 billion sebulan bagi hutang bersandarkan gadai janji sehingga tinjauan bagi pasaran kerja bertambah baik, membantu meningkatkan harga kepada paras tertingginya dalam tempoh enam bulan setengah pada AS$1,779.10 seauns.

"Dengan skim terbuka untuk mencetak dolar seberapa banyak yang diperlukan sehingga ekonomi AS pulih, aliran peningkatan emas berdepan kurang halangan sekurang-kurangnya kepada paras tertinggi awal,"kata Penganalisis Kanan Richcomm Global Services, Pradeep Unni.

"Carta membayangkan rintangan utama pada AS$1,787-AS$1,790, yang mana kita sudah gagal tiga kali sebelum ini. Justeru, penutup berturut-turut di atas AS$1,790 akan menjadi satu keperluan untuk mengelakkan pembetulan pengambilan untung,"katanya.

Langkah Rizab Persekutuan telah meningkatkan minat kepada dana dagangan pertukaran emas, pelaburan popular yang menerbitkan sekuriti didorong dengan logam fizikal.
-REUTERS

Tiada ulasan: