Selasa, 4 September 2012

STYLE  TEBUK DINDING UNTUK MEROMPAK


SUNGAI SIPUT - Cuti panjang minggu lalu dimanfaatkan sepenuhnya oleh sekumpulan perompak apabila bertindak menggerudi dinding sebuah kedai emas sebelum melarikan sejumlah barang kemas dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit dalam kejadian di Jalan Besar semalam.

Sumber polis berkata, kejadian berkenaan dipercayai dilakukan kumpulan penjenayah yang melakukan rompakan licik itu antara jam 12 tengah malam kelmarin hingga awal pagi semalam. Menurutnya, pekerja berkenaan hanya menyedari rompakan itu kira-kira jam 9 pagi semalam ketika hendak memulakan perniagaan.

Sebaik membuka kedai, mangsa terkejut apabila mendapati dinding premisnya telah berlubang berdiameter 0.5 meter. Dinding itu dipercayai ditebuk melalui premis bersebelahan yang kosong sejak 12 tahun lalu.

"Penjenayah dipercayai merancang rapi rompakan itu dan turut berupaya menebuk bahagian atas peti besi di premis berkenaan sebelum menyapu bersih semua barang kemas yang disimpan di dalamnya. Penjenayah terbabit melalui kedai kosong sebelah kiri kedai dan berjaya mematikan sistem penggera yang dipasang. Selepas berjaya masuk ke bilik kebal, peti besi yang menyimpan barangan kemas ditebuk pada bahagian atas dan mereka melarikan diri menerusi lubang yang sama," katanya.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, pihaknya msih menjalankan siasatan namun tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh penyamun berpengalaman berdasarkan modus operandi digunakan. Tambahnya, jumlah penjenayah yang terlibat dan kerugian sebenar yang dialami pemilik kedai emas terbabit masih disiasat.

"Kita bagaimanpun percaya ia dilakukan lebih daripada dua orang dan mereka mengambil kesempatan cuti Hari Kemerdekaan dan hujung minggu yang kebetulan kedai emas terbabit tidak beroperasi,"katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput melalui talian 05-5982222.

Tiada ulasan: