100 PEMBELI EMAS BERANG
KUALA LUMPUR - Lebih 100 perunding dan pembeli emas berhimpun depan sebuah syarikat memperdagangkan emas di Kuchai Lama disini selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu premis itu.
Serbuan dijalankan mulai jam 2 petang dengan kerjasama polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas syarikat terbabit dipercayai menjalankan aktiviti mengambil deposit secara haram daripada lebih 50 ribu pelanggan.
Menurut jurucakap BNM, syarikat sama yang beroperasi sejak 2007 dan didaftarkan di bawah Sendirian Berhad, pernah didakwa kerana kesalahan sama pada 2009.
"Selepas didakwa, syarikat terbabit menukar nama pada tahun lalu dan meneruskan aktiviti perdagangan. Sehingga kini, BNM dan agensi berkenaan yang turut menjalankan serbuan sedang menyiasat mengikut akta dan kesalahan di bawah bidang kuasa masing-masing,"katanya ketika dihubungi.
Katanya, serbuan serentak turut dijalankan ke atas sebuah lagi syarikat pelaburan emas yang didaftarkan mengikut nama sama di Singapura dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan sama ada syarikat itu mempunyai kaitan dengan syarikat di Malaysia.
Dalam serbuan itu, BNM merampas dokumen urus niaga syarikat terbabit, komputer, emas dan wang tunai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 25 (1) Bafia dan Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram. Sehingga jam 10 malam, tiga pejabat urusan syarikat terbabit dipenuhi ratusan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak penguat kuasa melakukan serbuan menyebabkan sepasukan polis ditempatkan di lokasi serbuan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Seorang perunding emas yang hanya mahu dikenali sebagai Eddy, 50 berkata, mereka dijangka memperoleh emas yang dibeli dua minggu lalu kelmarin.
"Serbuan ini menyebabkan kami gagal mendapat emas yang dibeli kerana ia mungkin disita oleh pihak berkuasa untuk siasatan. Ini menyebabkan urusan pengagihan imbuhan pembelian emas kepada pembeli di bawah perunding masing-masing akan tergendala," katanya.
Sementara itu, BNM dalam kenyataan akhbar berkata, pihaknya mengadakan serbuan dengan kerjasama polis dan KPDNKK terhadap syarikat itu dan serbuan sama dijalankan terhadap syarikat nama sama di Singapura.
Sumber : Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan