ASALNYA MAHU BELI BESI BURUK, SUDAHNYA BARANG KEMAS LEBUR!!
Sejak akhir-akhir ini kes pukau makin menjadi-jadi dan menghantui masyarakat kita. Kali ini Tamis Gold ingin memaparkan sedikit kelainan dengan memaparkan kisah seorang wanita yang telah dipukau hingga licin barang kemasnya dikebas..Jom kita ikuti kisah lanjut cerita beliau....
Takdir TUHAN, tiada siapa dapat menghalang. Kadang-kadang dalam pada berhati-hati telah tertulis bakal ditimpa ujian sekian-sekian maka ia pasti berlaku jua. Itulah yang telah menimpa Hasnah Osman yang tinggal di tinggal di tingkat empat sebuah pangsapuri sekitar Subang Jaya, Selangor.
Kata Hasnah, sudah menjadi rutin suaminya pulang sebentar setiap jam 2 petang dari tempat kerja untuk makan tengahari dan solat tetapi pada hari kejadian suaminya mengambil cuti untuk pulang ke Sabak Bernam bagi menyelesaikan masalah keluarga.
Sudah jadi kebiasan Hasnah juga, melarang keras anak bermain di luar rumah kerana bimbang jika mereka terjatuh tangga atau hilang tanpa disedari. Tapi, pada hari itu syarat dilonggarkan kerana seorang sepupu mereka datang ke rumah dan anak merungut bosan asyik main setempat.
Kata Hasnah memulakan bicara," Ibu sepupu mereka bercadang nak ambil anaknya sekitar jam 11 pagi tapi tak muncul-muncul. Mungkin inilah yang nak jadi cerita.
Setelah agak lama anak di luar, Hasnah memanggil mereka masuk. Masing-masing akur namun tiba-tiba muncul seorang lelaki dari tangga menuju ke pintu depan rumahnya.
"Ada barang lusuh atau besi buruk untuk dijual tak?"tanya lelaki tersebut sambil tersenyum manis. Hasnah yang selama ini memang tidak pernah melayan jurujual serba salah kerana smabil pertanyaan dilemparkan, mata lelaki berkenaan mengerling pada besi katil lama yang tersandar di dinding luar. Sememangmya besi berkenaan sudah tidak berguna lagi dan suaminya bercadang hendak bawa turun ke tong sampah besar selepas balik kelak.
"Ambillah besi itu kalau nak,"kata Hasnah.
Sudah adat berbual, sambil bicara mata memandang lawan cakap. Waktu itu Hasnah perasan matanya dan lelaki yang dipercayai warga seberang itu beradu buat seketika.
"Terus lelaki itu ubah perbualan. Katanya, dia ada soalan kuiz yang hendak ditanya. Kalau saya dapat jawab dia akan bagi hadiah misteri. Anehnya saya terus angguk tanda setuju," ujar Hasnah.
Mengakui sudah lupa soalan yang ditanya dan apakah jawapannya, sedar-sedar lelaki itu bersorak dan menyatakan Hasnah bakal menang hadiah lumayan tetapi dia diminta tunggu sebentar sementara bosnya datang membawa hadiah.
"Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki. Tiada hadiah di tangannya cuma beberapa helai kertas putih bersaiz A4. Dia minta izin masuk di dalam rumah untuk terangkan cara tebus hadiah,"imbau Hasnah yang tanpa fikir panjang mempersilakan lelaki itu masuk.
Dalam rumah, lelaki itu menerangkan Hasnah akan memenangi sebuah perakam DVD. Namun katanya, ada cara untuk dapat hadiah yang lebih besar dan mahal. Caranya pun mudah, cuma cabut kertas di tangannya.
"Sudah tentu saya rasa tak salah untuk mencuba. Sebaik mencabut salah satu kertas, saya lihat ada banyak barisan angka,"kata Hasnah.
Lelaki itu kemudiannya menunjukkan Hasnah sebaris angka berdigit tiga. Angka itu sangat dikenali oleh semua orang terutama kaum wanita iaitu nombor 9-1-6!!
"Dia tanya kat rumah ada tak angka ni?Saya kata tentulah ada. Apabila dia minta bukti saya terus buka barang kemas dan tunjuk angka itu pada dia. Saya rasa betul-betul bodoh sebab bertindak demikian bila difikirkan semula,"ujar Hasnah dengan mata mula digenangi air.
Tidak cukup dengan barang kemas di badan, Hasnah siap bangun mengambil semua barang kemas yang berada dalam simpanannya termasuk cincin dan gelang tunang serta kahwin. Apa yang difikirkan ketika itu mahu menunjukkan semua barang yang ada nombor 916.
"Setelah barang kemas dilambakkan depan lelaki tersebut, dia kata semua ni kena bawa balik ke pejabat untuk diperiksa ketulenannya. Saya tak kata apa-apa bila lihat dia masukkan semua barang kemas saya dalam satu uncang,"kata Hasnah yang turut menghantar lelaki itu ke muka pintu.
Sebelum minta diri, lelaki itu sempat berpesan kepada Hasnah. Katanya,selepas dia pergi jangan lupa mandi dan bersiap cantik-cantik sebab akan ada orang datang untuk mengambil gambar. Bagaikan orang bodoh, Hasnah akur.
"Selepas itu, dia terus turun tangga tergesa-gesa meninggalkan saya terkebil-kebil. Selepas beberapa saat baru saya tersedar. Hati terus menjerit, apa sudah saya lakukan? Habislah semua barang kemas yang saya kumpul selama ini! Sedangkan untuk mendapatkan setiap satunyatak mudah sebab saya bukan orang senang. Saya pasti dipukau sebab semua ini tidak masuk akal. Saya bukan orang yang mudah percaya jurujual apatah lagi membenarkan sembarangan orang masuk rumah,"kata Hasnah diselangi sedu sedan.
Kata Hasnah, sejak kejadian yang berlaku kira-kira enam bulan lalu, dia mengalami trauma. Ketika di rumah dia akan sentiasa memeriksa gril dan pintu rumah dari semasa ke semasa untuk memastikannya berkunci. Anak pun tidak dibenarkan bermain di luar lagi. Semua jiran, saudara mara turut dinasihati perkara serupa.
"Tapi, dari satu segi saya bersyukur sebab saya dan anak-anak tidak diapa-apakan", katanya sebelum mengakhiri perbualan..
p/s: Berhati-hatilah kaum hawa sekalian..Jangan anda pula yang menjadi mangsa seterusnya..
Sumber: Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan