JERAT EMAS, KAYA ATAU MUFLIS?
Macam mana orang tak gila dengan emas apabila harganya sentiasa naik dan terus melambung tinggi. Sebab itulah ada orang membeli jongkong emas, syiling emas dan perhiasan (barang kemas), sama ada bertujuan untuk simpanan atau menyertai aktiviti pelaburan emas.
Nilai emas amat tinggi berbanding duit kertas yang boleh susut nilainya kerana itu banyak kes rompakan di kedai emas atau premis lain, selain kes ragut, lalu wanita kerap menjadi mangsa selepas dilihat lehernya penuh kilauan emas.
Kerana emas ada adik beradik bergaduh, bermasam muka, tidak bertegur sapa atau putus sedara kerana rebutkan barang kemas peninggalan orang tua yang berbungkal-bungkal. Banyak juga penagih dadah ragut rantai emas emaknya kerana nak jual untuk membeli dadah.Tidak kurang juga suami curi emas isteri untuk dipajak gadaikan kerana sudah jadi tahi judi.
Masih pasal emas. Kes melanda 60,000 pelabur syarikat pelaburan emas jongkong, Genneva Malaysia Sdn.Bhd (Genneva Malaysia) baru-baru ini yang kerugian dan ditipu selepas syarikat terbabit disiasat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana aktivitinya diragui iaitu mengambil deposit secara haram, menggubah wang haram, mengelak cukai, memberi deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen, memang cukup menyedihkan.
Malah sejak beberapa minggu lalu, beberapa syarikat pelaburan emas diserbu hingga memberi tekanan kepada pelabur yang kerugian besar. Niat untuk menambah simpanan lebur dan lenyap begitu saja. Paling malang, ada cubaan membunuh diri apabila berhadapan dengan kerugian itu.
MAHU CEPAT KAYA
Pengajaran dalam kes ini, orang ramai tidak seharusnya 'gelap mata' ingin cepat kaya dengan sekelip mata, lantas percaya saja sebarang pelaburan emas di pasaran. Mereka sepatutnya buat siasatan dulu sama ada transaksi sah di sisi undang-undang. Kini, terlalu banyak kes tipu jual beli emas termasuk menerusi alam siber.
Individu berminat juga jangan mudah terpengaruh dan cepat percaya apabila dikaburi janji pulangan pelaburan tinggi. Sebenarnya, banyak maklumat boleh diperolehi mengenai pelaburan emas ini. Klik saja pakcik Google 'pelaburan emas' maka keluar semua maklumat berkaitannya.
Jika ingin melabur emas beli saja di premis sah seperti kedai emas atau bank yang menawarkan pelbagai bentuk jual beli emas Ar-Rahnu. Dapatkan saja nasihat pakar perbankan bagi mengelak terbeli emas palsu atau ditipu kandungannya. Di bank juga ada syarat dan terma melindungi hak pelabur jika mereka membeli jongkong emas(gold bar) atau syiling emas (dinar).
Memang banyak orang sudah kaya dengan melabur dan membeli emas. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai juga yang sudah buka mata dengan mengumpul emas, demi masa depan mereka. Betapa tingginya laba emas dikumpul individu sejak bertahun. Contohnya, sekitar awal 1990-an harga emas (barang kemas) antara RM29 satu gram hingga RM32 satu gram tetapi hari ini sudah mencecah RM195 satu gram. Bayangkan berapa lumayan pemilik emas ini sekiranya diterjemahkan dalam bentuk wang ringgit mengikut jumlah gram yang mereka ada.
Sumber: Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan