EMAS - IMPIAN DUNIA BARU
ASAS EKONOMI....jongkong emas dalam bilik kebal Bank England yang menjamin kredibiliti perdagangan di negara itu.
KESEJUKAN pagi itu diselubungi kabus ketika Ketua Pegawai Eksekutif Scotgold, Chris Sangster membuka kunci besi pintu jeriji sebelum dia melangkah masuk ke lif itu. Lampu suluh kecil di topi keledar dipasang untuk membantu mereka melihat di dalam gelap. Dalam jarak beberapa meter, lampu di pintu masuk semakin menghilang dan kumpulan dibawa Sangster itu terus ditelan kegelapan lombong emas itu.
- YAKIN HIDUP BERUBAH...Kirk mencuba nasib mencari emas di antara kerikil sungai di kawasan Tyndrum menggunakan hanya peralatan asas.
- HASIL LOMBONG...produk akhir yang hanya mengandungi kira-kira 37.5 peratus emas dan bernilai hampir RM575,000.00.
Selepas berjalan mengharungi air yang menenggelamkan buku lali, mereka mula melihat ketulan besi pirit, yang menyerupai emas, berkilau di terowong.
Ketika itu, mereka berada hampir 250 meter di bawah tanah.
Kata Sangster, kebanyakan emas di kawasan itu sangat kecil dan tidak dilihat dengan mata kasar. Ditemui kali pertama pada 1985, lombong emas Tyndrum itu ditinggalkan ketika harga bahan galian itu merudum awal abad ini.
Bagaimanapun, ketika nilainya kini kembali memuncak, Scotgold bercadang memulakan operasi sekali lagi di disitu tidak lama lagi. Pejabat Scotgold yang sederhana terlatak di bangunan bekas stesen kereta api dan tidak membayangkan kekayaan bakal mereka peroleh di bawahnya.
Kata Sangster, peluang memperoleh emas sangat besar di kawasan itu..
"Data rasmi yang kami ada menunjukkan ada kira-kira 4,621 kilogram emas disini dan nilai pasaran semasa adalah USD184 juta (RM882 juta),"katanya.
Menjelang tahun depan, kata Sangster nilai itu hampir pasti meningkat lebih tinggi. Sejak 2008, harga emas naik dua kali ganda dan harga pasaran semasa Britain adalah RM4,984 bagi setiap auns (28.3 gram). Sebagai keperluan utama dalam pasaran pelaburan tradisional, termasuk bursa saham hingga hartanah, harga emas tidak pernah jatuh mendadak.
Ketika pasaran kewangan global terus bermasalah, wujud momentum "buruan emas" yang baru terus terbina. Antara pihak yang terbabit dalam buruan itu termasuklah golongan kaya dan penjenayah jalanan. Daripada cincin dijari hingga komponen telefon pintar dan wayar halus dalam pemproses komputer riba, emas menjadi bahan sangat berharga dalam kehidupan manusia.
Setakat ini, kira-kira 170,000 tan emas dilombong di seluruh dunia dan jumlah itu boleh memenuhkan tiga kolam renang bersaiz Olimpik. Bagaimanapun, tinggal hanya 90,000 tan masih belum dilombong. Pada kadar semasa, simpanan emas dunia dijangka habis dalam tempoh 30 tahun akan datang. Hakikat itu memang disedari syarikat perlombongan dan mereka kini mula mencari lokasi baru yang berpotensi.
Penganalisis kanan Thomson Reuters GFMS, Will Tankard, berkata kebanyakan simpanan emas yang mudah ditemui kini habis diteroka.
"Pelombong kini mencari kawasan lebih sukar dan berisiko, dari kawasan hujung Kanada hingga 4,500 meter di atas paras laut di kawasan Andes," katanya.
Menurut Tankard, meneroka tapak seumpama itu memerlukan pelaburan besar sebelum aktiviti melombong boleh dijalankan.
"Di utara Kanada, anda akan mendapati jalan paling hampir dengan tapak lombong emas terletak sejauh 800 kilometer. Justeru, anda perlukan wang yang banyak untuk menyiapkan laluan, talian elektrik dan lain-lain," katanya.
Tidak cukup dengan itu, pelombong juga berdepan dengan tentangan penduduk setempat. Sebagai contoh, syarikat pengeluar emas terbesar dunia, Barrick Gold telah membelanjakan RM287 juta untuk membina infrastruktur setempat bagi memenangi hati peladang yang membantah pembukaan lombong Pascua Lama di sempadan Argentina- Chile.
Lokasi emas juga semakin sukar dari semasa ke semasa. Pada hujung abad ke-19, emas boleh ditemui begitu saja di kawasan Kalgoorlie, Australia. Kini, satu-satunya jalan untuk mendapatkan kekayaan daripada emas ialah dengan membentuk lombong sepanjang hampir 3 kilometer, 1.5 kilometer lebar dan sedalam 370 meter.
Melihat dari tebing lombong itu, sebuah lori yang mampu membawa 250 tan batu tidak ubah seperti objek mainan. Bagi setiap muatan dibawa, secara purata hanya satu daripada enam lori mengandungi emas- Biasanya apabila dikumpulkan ia hanya sebesar bola golf.
Emas seumpama itulah yang menjadi buruan pelombong di kawasan pergunungan Scotland kini. Sangster berkata, dia yakin kebanyakan sungai di kawasan itu mengandungi emas dan menanti masa didulang. Katanya, hampir 57 kilogram emas pernah ditemui di sungai kawasan itu pada 1860-an dan ia boleh mencapai nilai RM10 juta pada hari ini.
Pendulang emas veteran, Alan Souter dan Leon Kirk, kini kembali mahu mencuba nasib ekoran pembukaan lombong emas Scotgold si Tyndrum. Tidak jauh dari situ, kata Souter ada satu kawasan popular yang kini kelihatan seperti bekas medan Perang Dunia Pertama.
"Kawasan itu dipenuhi lubang dengan setiap satu sedalam satu meter atau lebih. Ia adalah bekas orang ramai mendulang emas," katanya.
Dengan pakaian bersesuaian, Souter dan Kirk mula melompat ke dalam air yang sejuk itu untuk mencuba nasib. Peralatan mereka sangat sederhana - satu paip dengan bola tenis pada rodnya untuk menyedut kelikir di dasar sungai, penapis dan dulang plastik bagi mengasingkan emas daripada batu kelikir. Namun, keberkesanannya sangat mengagumkan.
Sambil mencuba nasib, Kirk menceritakan betapa kuatnya godaan emas kepada pendulang sepertinya.
"Ia sebati dengan kami dan ia akan mati bersama kami," katanya.
Kirk berkata, apa yang mendorong orang terus memburu emas adalah impian menjadikan penemuan itu kejayaan besar. Ia disokong Souter.
Katanya, ramai pendulang yakin akan cukup bertuah pada satu hari.
"Bagaimanapun, hakikatnya adalah berbeza. Tidak ramai pemburu emas yang berjaya, malah kadang-kadang mereka gagal mendapat pulangan modal", katanya.
Untuk membuktikannya, Souter dan Kirk menunjukkan hasil mereka pada hari itu. Selepas dua jam mengharungi air sungai yang begitu sejuk, anggaran maksimun nilai emas yang diperoleh hanya kira-kira USD5 (RM25). Rakan mereka, Gareth Moore, pula mempunyai pandangan berbeza.
Selepas berhenti kerja, dia meninggalkan keluarganya beberapa bulan lalu untuk menetap dalam khemah di pinggir sungai kawasan tinggi Tyndrum. Tanpa sebarang pekerjaan lain, Moore hidup semata-mata dengan pendapatan daripada penemuan emas disitu. Pada usia 27 tahun, Moore memilih untuk hidup begitu kerana bosan dengan suasana masyarakat setempatnya.
"Emas adalah tiket untuk saya keluar daripada kebosanan ini," katanya.
Moore yakin, apa yang perlu dilakukannya adalah terus sabar mencuba nasib di sungai berkenaan setiap hari dan hasilnya akan dinikmati satu hari nanti.
Berdepan dengan hujan dan musim sejuk, Moore bertegas dan tidak menyesal, malah menikmati sepenuhnya pengalaman disitu.
"Saya sentiasa berjaya menemui emas secukupnya bagi mengisi perut,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan