Isnin, 19 November 2012

PELABURAN EMAS ARTIS TEMPATAN

PELAKON dan kini ahli perniagaan, Azlinda Rafar atau dikenali sebagai Linda Rafar pada mulanya tidak faham mengapa sesetengah orang menyimpan emas sebagai pelaburan masa hadapan. Baginya, pelaburan yang menguntungkan adalah membeli rumah dan menjalankan perniagaan yang dapat memberikan pulangan wang yang banyak.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah apabila dia mula diperkenalkan dengan pelaburan emas melalui abang iparnya yang merupakan pembekal emas. Melalui syarikat Serambi Emas, dia yang mudah dikenali dengan panggilan Linda akhirnya terjebak dengan perniagaan berasaskan emas dan mengakui ia merupakan pelaburan yang menguntungkan.

"Daripada seorang yang tidak faham mengenai emas, kini saya dan seluruh ahli keluarga terbabit dengan perniagaan dan pelaburan emas secara aktif. Sekiranya saya mendapat pendedahan lebih awal mengenai emas, mungkin saya telah menceburi bidang ini lebih awal," katanya ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam.

HARGA SENTIASA NAIK

Menurut Linda, dia memilih emas kerana selain mudah untuk disimpan, dia tidak perlu bimbang dengan kejatuhan harganya. Harga emas sentiasa naik dari tahun ke tahun dan boleh digadaikan pada bila-bila masa sahaja.

"Walaupun harga emas kadangkala turun niak, tetapi jika dilihat dengan lebih teliti, harganya tetap akan naik dari tahun ke tahun. Pemilik emas pula boleh menjual emas mereka pada bila-bila masa sahaja sekiranya memerlukan wang dengan segera. Ia ibarat simpanan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Setiap tahun ada keuntungan dan pemiliknya tidak akan menanggung kerugian selagi  melabur. Tetapi emas lebih mudah diuruskan,"katanya.

Menceritakan perkembangan perniagaan emasnya, Linda memberitahu selain ahli keluarga di bawah agensinya dia mempunyai lebih 30 orang ejen yang bergerak secara aktif.

"Perniagaan emas adalah fokus Linda dan keluarga ketika ini. Bagaimanapun, perniagaan spa dan produk penjagaan kulit kami masih berjalan seperti biasa. Kepingan-kepingan emas ini dibeli di Indonesia dan Switzerland dan dihasilkan oleh pengeluar yang memiliki reputasi dalam penghasilan jongkong emas 999.9. Saiz yang disediakan adalah bagi memenuhi kemampuan pelanggan dan dijual melalui sistem Ar-Rahnu." 
katanya.

Menggulas lanjut, pelanggan hanya perlu membayar sebanyak 35 peratus daripada nilai emas dan bakinya akan dibiayai oleh Ar-Rahnu.

"Pelanggan hanya perlu membayar secara ansuran kepada Ar-Rahnu sehingga selesai dan selepas itu ia akan menjadi hak milik mutlak pelanggan," katanya.


AURA PENYERI

Dalam pada itu, Linda mengakui kehidupannya berubah sejak terbabit dengan Serambi Emas. Selain sibuk mempromosikan emas di Facebook dan kepada rakan-rakan artis, dia juga mula memakai emas sebagai perhiasan selepas mengetahui kebaikannya.

"Emas mempunyai aura semula jadi sebagai penyeri wanita. Tetapi saya tidak memakai emas dengan banyak, cukuplah sebagai perhiasan secara ringkas. Selain menjual kepingan emas, saya sendiri menyimpan beberapa kepingan emas yang akan saya gunakan untuk promosi kepada rakan-rakan saya di mana-mana sahaja" katanya.

Tiada ulasan: