Selasa, 20 November 2012

TAUKE KEDAI EMAS PARAH DITETAK BEKAS TENTERA

KOTA BHARU - Seorang lelaki cedera parah di belakang leher manakala seorang lagi cedera di kedua-dua belah tangan akibat ditetak bekas tentera yang mempunyai masalah mental di Wakaf Che Yeh semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, mangsa yang cedera di belakang leher merupakan seorang tauke kedai emas berusia 51 tahun manakala mangsa yang cedera ringan di tangan merupakan pekerja jurukimpal berusia 25 tahun.

Tauke kedai emas  itu , Chew Foi Sung masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) disini manakala seorang lagi menerima rawatan pesakit luar. Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang jurukimpal terbabit yang sedang bekerja di sebuah bengkel kimpalan. Selepas itu, suspek terbabit berlari ke sebuah kedai emas yang terletak selang dua buah kedai dari bengkel tersebut lalu menetak leher tauke kedai emas yang berada di depan kedai.

Salah seorang mangsa, Liu Kien Hor, 25 berkata ketika kejadian dia sedang melakukan kerja dalam bengkel itu sebelum dihampiri seorang lelaki membawa sebilah parang.

"Tanpa saya sedari, lelaki terbabit melibaskan senjata tajam dan terkena pergelangan tangan kiri lalu saya bangun dan terus berlari menyelamatkan diri. Lelaki terbabit terus mengejar dari belakang dan seorang lagi lelaki yang berada di hadapan kedai emas milik keluarganya turut ditetak di belakang lehernya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan kejadian.

Sementara itu, kakak kepada tauke kedai emas yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian dia berada di belakang kedai untuk mencuci pinggan.

"Saya tidak mendengar apa-apa bunyi tetapi apabila keluar ke depan kedai saya terkejut melihat leher adik saya berlumuran darah dengan kesan tetak. Lalu saya terus masuk ke dalam dan menenangkan adik, sementara menanti orang awam yang berada di luar kedai menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital." kata wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asissten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi berkata, kejadian itu dilakukan oleh lelaki dipercayai kurang siuman dengan menggunakan sebilah parang. Menurutnya, suspek dipercayai mempunyai rekod psikiatri dan ujian air kencing didapati negatif dadah.

"Suspek berjaya diberkas kira-kira setengah jam selepas kejadian di belakang kedai emas milik mangsa dan kedua-dua mangsa kini dilaporkan stabil," katanya.

SUMBER : Kosmo dan Sinar Harian

Tiada ulasan: