DEMI KASIH KEPADA SUAMI, ISTERI RELA KERUGIAN RM80,000
Demi nyawa suami, seorang peniaga emas sanggup menyerahkan semua harta benda termasuk wang tunai dan barangan kemas bernilai RM80,000 dalam kejadian samun di Kampung Banggol Peradong, Manir pada 20 Disember lalu.
"Jangan apa-apakan keluarga saya, ambil sahaja apa yang kamu semua mahukan." Itulah rayuan Mek Chik, 51 yang menjadi mangsa samun tiga lelaki bertopeng bersenjatakan pisau di rumahnya. Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Mek berada di rumah bersama suaminya, Awang Ismail, 53, bapa mertua yang juga warga emas berusia 70-an, empat anak termasuk seorang istimewa, Nur Alwani Awang, 11 dan seorang pembantu rumah.
Mek berkata, ketika kejadian, semua ahli keluarganya sedang tidur dalam bilik di bahagian atas rumah kecuali anak perempuannya, Suwaibah Awang, 21 yang tidur dalam bilik bacaan di bahagian bawah. Menurutnya, dia dikejutkan bunyi dentuman kuat sebelum pintu biliknya dipecahkan tiga suspek menggunakan tong gas yang diambil di bahagian dapur.
"Ketika itu, saya ternampak empat lembaga terdiri di tepi katil termasuk anak perempuan saya, Suwaibah yang diikat kedua-dua tangannya menggunakan tali leher milik abangnya. Terkejut dengan situasi itu, saya hanya mampu mengikut apa disuruh termasuk menyerahkan semua barang kemas dipakai dan pada masa sama merayu supaya kami tidak diapa-apakan", katanya.
Bagaimanapun, Mek berkata, suaminya yang ketakutan sempat melaungkan takbir sebelum dadanya ditoreh dengan pisau oleh seorang daripada penjenayah yang berang.
"Melihat keadaan suami yang cuba dicederakan, saya terpaksa memberikan semua harta termasuk wang tunai dan barang kemas, bernilai RM80,000. Syukurlah torehan tidak kuat, hanya luka kecil sahaja dan tidak mengalami sebarang pendarahan,"katanya. Menurutnya, penjenayah terbabit mengumpulkan semua ahli keluarganya di ruang tengah biliknya.
"Mereka ikat kaki dan tangan kami kecuali Nur Alwani, menggunakan wayar seterika serta wayar pengecas telefon. Mereka turut mengeledah semua bilik di dalam rumah untuk mencari barang berharga kira-kira 45 minit sebelum melarikan diri dipercayai dengan menaiki kereta," katanya.
Mek berkata, ia kejadian kali pertama dialaminya sejak tinggal di kawasan berkenaan dan masih belum dapat menganggarkan jumlah sebenar kerugian. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ahli keluarga tidak diapa-apakan, lebih-lebih lagi anak bongsu yang juga anak istimewa," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Assisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian. Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek menggunakan dua bilah parang dan sebilah pisau dalam kejadian berkenaan,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan