Sabtu, 22 Disember 2012

LARIKAN BARANG KEMAS BERNILAI RM20,000 DALAM MASA HANYA 10 MINIT

SENAWANG - Hanya 10 minit diperlukan bagi empat penjenayah untuk melarikan barang kemas bernilai hampir RM20,000 milik sepasang warga emas dalam kejadian samun di sebuah rumah, dekat Taman Guru Melayu, kelmarin.

 Menceritakan kembali detik cemas, mangsa Datuk Dr Abdul Rahman Kaeh, 74 berkata insiden berlaku kira-kira 9 pagi apabila kediamannya diceroboh empat lengkap memakai topi keledar dan bersenjatakan parang setiap seorang ketika dia sedang membaca buku di dalam rumah.

"Mereka mengheret isteri saya bersama seorang lagi jiran yang datang untuk belajar mengaji masuk ke dalam rumah sebelum memaksa saya menyerahkan barangan berharga. Saya cuba melawan tetapi dihalang isteri. Berang dengan kami yang enggan mengikut arahan menyebabkan kepala saya diketuk dengan tepi parang, manakala tengkuk isteri saya dicengkam perompak terbabit," katanya.

Abdul Rahman berkata, bukan sahaja seluruh isi rumahnya digeledah, malah kedua-dua kereta yang diletakkan di halaman rumah mengalami nasib yang sama. Menurutnya, penjenayah itu akhirnya beredar menaiki dua buah motosikal jenis RXZ.

"Mereka sempat melarikan barang kemas isteri bernilai kira-kira RM20,000 bersama tiga telefon bimbit serta dompet milik saya," katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Datin Aini Isa,62 berkata, dia baru sahaja mula mengajar mengaji, sebelum tiba-tiba empat lelaki tidak dikenali menerjah masuk melalui pintu pagar dibuka bagi memberi laluan kepada pelajar yang datang.

"Selain cedera di bahu akibat ditarik secara kasar, saya turut ditampar kerana cuba melihat wajah mereka di sebalik topi keledar,"katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Assisten Komisioner Saiful Azry Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

SUMBER : SINAR HARIAN

Tiada ulasan: