Sabtu, 8 Disember 2012

TIPS MEMILIH CINCIN PERTUNANGAN ATAU PERNIKAHAN


Musim cuti sekolah merupakan musim orang kahwin dan mengikat tali pertunangan. Cincin pula merupakan simbolik dalam sesuatu majlis resepsi perkahwinan atau pertunangan. Sekarang, diamond menjadi pilihan ramai bagi pasangan yang mahukan cincin yang ringkas dan cantik.

Pemilihan cincin yang betul penting sebab nilai sebentuk cincin amat bermakna kepada penerimanya. Cincin pertunangan melambangkan sebuah janji manakala cincin perkahwinan membawa makna bahawa janji tersebut telah pun ditunaikan. Cincin merupakan simbol kasih sayang, setia dan bersedia untuk sehidup dan semati.

Disebalik nilai dan ertinya, rekabentuk yang manakah yang paling sesuai dipilih bagi membolehkan ia sentiasa  tersarung di jari manis pasangan sepanjang masa dan selamanya? Berikut merupakan beberapa panduan untuk dikongsi. Meskipun anda memilih emas, platinum atau cincin berlian sekalipun, cincin anda seharusnya mencerminkan gaya, keperibadian dan citarasa anda.

Ambil kira tentang 4C



Banyak jenis batuan boleh dipilih bagi menghiasi cincin pernikahan. Namun berlian masih menjadi pilihan utama cincin pertunangan dan pernikahan. Ada empat 'C' yang harus diperhatikan ketika membeli berlian iaitu 'Cut' (potongan), 'Clarity' (kejelasan), 'Colour' (Warna), dan 'Carat' (Karat).

Cut adalah karakteristik yang terpenting. Keindahan sinar dan gemerlapnya berlian terletak pada potongannya. Karakternya yang keras membolehkannya dipotong dengan bahagian hujung bawah yang meruncing.

Clarity merupakan kejelasan dan kebeningan berlian. Semakin tiada cacat cela, maka semakin mahal berlian tersebut.

Colour merupakan warna pada berlian. Yang dicari adalah berlian polos. Grade yang digunakan untuk menunjukkan tingkat kebeningan berlian tertinggi adalah D, sementara Z adalah yang terendah atau dalam kata lain, yang paling tidak bersih / 'kotor'.

Carats adalah penunjuk berat dan ukuran berlian.

Reka bentuk

Kebanyakan pasangan muda belum memiliki dana atau wang yang mencukupi untuk membeli cincin pernikahan yang mahal dan bertatahkan banyak berlian. Namun, jika suatu hari anda berhasrat ingin menambah berlian di cincin tersebut, pastikan badan cincin direka dengan ruang lebihan untuk menambahkan berlian kelak.

Badan cincin

Terdapat pelbagai pilihan untuk badan cincin. Ada emas, emas putih, perak atau platinum. Platinum adalah yang termahal, namun paling tahan lama. Kebanyakan pasangan sekarang lebih memilih emas putih kerana ia tidak terlalu berbeza dengan cincin biasa dan harganya pula tidak semahal platinum. Namun, setelah beberapa lama pemakaian, emas putih cenderung menjadi kuning. Ketiga bahan yang disebutkan di awal tadi mengalami perubahan dari segi kilauan sejak anda membelinya atas pelbagai sebab seperti terguris dan sebagainya. Jadi, ia perlu dibersihkan selalu dan sebaiknya. Jika ingin menjaga cincin anda turun temurun dan tahan lama, platinum adalah pilihan terbaik.

Tiada ulasan: