Isnin, 8 Julai 2013

TAKRIF KETULENAN


Ketulenan ialah bahagaian logam berharga di dalam aloi ( campuran lebih daripada satu logam ). Ia mengambarkan tahap keaslian kandungan logam yang menjadi asas dalam pembuatan sesuatu barang samada daripada emas, perak atau platinum.

PENGUJIAN KETULENAN ( ASSAYING )

Pengujian ketulenan atau lebih biasa dikenali sebagai “ assaying “ adalah penentuan kandunganlogam berharga sebenar dalam aloi secara saintifik. Penentuan ini adalah dibuat oleh pihak ketiga yang tiada kepentingan dalam perniagaan barang-barang logam berharga. Dalam menjalankan penentuan secara saintifik ini, pejabat-pejabat pengujian ketulenan ini perlu mematuhi standard-standard Malaysia yang ditetapkan oleh SIRIM. Kandungan logam berharga sebenar yang ditetapkan kemudian ditanda sebagai STANDARD KETULENAN pada barang yang telah diuji.

STANDARD KETULENAN YANG DITETAPKAN OLEH KERAJAAN

Di bawah peraturan-peraturan Perihal Dagangan ( Artikel-artikel yang dibuat dari bahan berharga ) 1994, barangan yang diperbuat daripada logam berharga hendaklah diperbuat dengan mematuhi standard ketulenan yang telah ditetapkan. Standard ketulenan hendaklah dicap atau diukir di barangan berkenaan.Standard ketulenan bagi emas hendaklah dicap atau diukir dalam tiga angka seperti 950, 916 ataupun 870. Cap atau ukir boleh digunakan di dalam bentuk empat segi.Bagi perak boleh dicap atau diukir dalam bentuk bulatan. Bagi platinium dicap atau diukir dalam bentuk tiga segi.

Tiada ulasan: