HARGA EMAS JATUH LAGI!!
Harga emas jatuh semalam, meneruskan kerugian yang disaksikan dalam sesi sebelumnya selepas China menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi lebih rendah untuk tahun ini, namun berharap logam berharga yang lebih murah akan mencetuskan peningkatan pembeliannya.
Harganya juga disokong oleh krisis hutang berterusan di Eropah, yang mengekang ekonomi di rantau itu serta menggilap lagi daya tarikan emas yang bersifat selamat.
"Krisis hutang euro menyebabkan semua orang membeli emas, manakala permintaan dari China dan India mengekalkan pasaran fizikal dalam keadaan yang sempit. Buat masa sekarang, memandangkan krisis zon euro dan kemudiannya konflik nuklear di Iran, harga emas menjadi lebih tinggi berbanding komoditi lain." kata penganalisis kanan di Richcomm Global Services Dubai, Pradeep Unni.
Harga emas susut 0.3% kepada AS$1,700.91 seauns pada dagangan semalam, pulih semula daripada dagangan separuh hari yang rendah sekitar AS$1,698. Ia jatuh satu peratus pada Isnin selepas China menurunkan sasaran pertumbuhan 2012 kepada paras terendah dalam lapan tahun kepada 7.5 peratus. Harga emas AS bagi penghantaran April turun 0.12 peratus kepada AS$1,701.80 seauns. Harga spot emas pula merudum hampir empat peratus minggu lalu, iaitu prestasi mingguan terburuknya sejak pertengahan Disember selepas Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke tidak memberikan isyarat lanjut kemungkinan dasar kelonggaran kuantitatif di AS. Pembelian di China, jumlah pelaburan yang tinggi dan pembelian bank pusat tertinggi dalam 40 tahun membantu meningkatkan permintaan emas ke paras paling tinggi dalam 14 tahun pada 2011, kata Majlis Emas Dunia.
Beberapa peniaga berkata, pasaran tidak perlu terlalu risau terhadap langkah baru Beijing menurunkan sasaran pertumbuhan dan permintaan logam berharga itu sebagai pelindung inflasi dijangka kekal kukuh. "Sesetengah pelanggan gembira untuk membeli pada harga semasa, walaupun perkembangannya sedikit menurun. Saya dapat merasakan mereka akan membeli lebih banyak lagi jika harganya terus jatuh," kata seorang peniaga fizikal di Singapura. Di Eropah, Greece dan pemberi pinjamannya sedang dalam peringkat akhir rundingan, disasar dapat memuktamadkan urus niaga yang akan menghapuskan hutang sektor swastanya yang bernilai 100 billion euro iaitu sebahagian penting pelan menyelamat kedua bernilai 130 billion euro yang diperlukan Athens-REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan