Rabu, 18 April 2012

TIGA LELAKI DITAHAN JUAL EMAS TIRUAN

IPOH: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua bekas pekerja sebuah bank kerana terbabit dalam kegiatan menjual emas tiruan yang digadai di Skim pajak gadai Ar-Rahnu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohamad Shukri Dahalan, berkata tangkapan dibuat selepas seorang peniaga emas terpakai yang menjadi mangsa penipuan itu membuat laporan mengenai kegiatan itu 2 April lalu.
Katanya, mangsa mendakwa seorang daripada suspek menjual surat gadaian emas kepadanya dan kemudian mereka bersama pergi ke bank untuk menebus barang kemas yang digadai itu.

"Selepas membayar wang gadaian berjumlah RM32,394 kepada bank, barang kemas iaitu tujuh loket diserahkan kepada suspek kemudian menyerahkannya kepada mangsa. Apabila pulang ke premisnya, mangsa membuat pemeriksaan dengan cara memotong satu daripada barangan kemas itu sebelum mendapati ia tiruan," katanya disini semalam.

Mohd Sukri berkata, berikutan aduan diterima mangsa, polis menahan suspek dan dua lagi lelaki yang berusia antara 55 hingga 70 tahun. Katanya, selain tujuh loket emas tiruan polis turut merampas gelang 15 gelang tangan dan 15 rantai yang juga disyaki tiruan.

"Dua daripada suspek bekas pekerja bank berkenaan dan seorang lagi tidak mempunyai pekerjaan. Seorang daripada mereka juga mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah iaitu memalsukan dokumen. Siasatan mendapati kumpulan itu akan menggadai emas tiruan di bawah skim Ar-Rahnu dan apabila tamat tempoh gadaian, mereka akan menjual emas tiruan itu kepada mangsa," katanya.

Sumber:Harian Metro

* Berhati-hati dalam membeli emas dan pastikan anda berurusan dengan orang yang boleh dipercayai..dan tanyalah kepada yang pakar...Apa-apa pertanyaan bolehlah rujuk kepada CEO Tamis Gold, En Ghani di talian  019-2282277

Tiada ulasan: