EMAS KEKAL SECARA TIDAK MENENTU
Harga emas ditutup lebih rendah semalam selepas mencecah paras tertinggi dalam dua minggu pada sessi sebelumnya apabila data pengeluaran Amerika Syarikat (AS) meredakan kebimbangan terhadap ekonomi dan mengurangkan harapan kelonggaran dasar seterusnya.
Spot emas ditutup turun 0.4 peratus kepada AS$1,654.89 seauns semalam, selepas meningkat kepada AS$1,671.20 pada Selasa. Emas AS juga turun 0.4 peratus kepada AS$1,656. Selepas beberapa siri data yang lemah, Institute for Supply Management (ISM) berkata, pengeluaran AS pada April berkembang pada kadar paling pantas dalam 10 bulan, sekaligus meredakan kebimbangan ekonomi terbesar dunia itu hilang momentum pada awal suku kedua.
Pertumbuhan ekonomi lebih kukuh akan mengurangkan keperluan kepada Rizab Persekutuan untuk terus melaksanakan kelonggaran dasar serta menyekat selera pelabur terhadap logam berharga yang meraih manfaat daripada faedah rendah.
Pelabur mengalihkan tumpuan mereka kepada data gaji selain sektor pertanian yang akan dikeluarkan Jumaat ini dan memantau rapi keputusan kadar Bank Pusat Eropah pada Khamis selain keputusan pilihan raya umum di Perancis dan Greece pada hujung minggu.
"Emas berkemungkinan kekal tidak menentu untuk beberapa hari lagi. Ia adalah sensitif kepada angka positif, seperti dibuktikan oleh perangkaan semalaman ISM," kata Ahli Strategi Kanan ANZ di Singapura, Nick Trevethan. Beliau menambah bahawa dolar Australia yang lebih lemah berikutan pemotongan kadar mengejutkan oleh Reserve Bank of Australia pada Selasa mencetuskan sesetengah jualan oleh pengeluar, apabila emas dalam mata wang itu meningkat ke paras tertinggi dalam tiga minggu.
SPDR Gold Trust, dana tukaran asing disokong emas terbesar dunia berkata, pegangannya jatuh untuk hari kedua berturut-turut kepada paras terendah tiga bulan 1,274.09 tan pada 1 Mei.
"Pelabur berdiri di luar pasaran menanti perkembangan tidak menentu ekonomi AS, zon euro dan penurunan kuantitatif (QE3) oleh Rizab Persekutuan," kata seorang peniaga di Hong Kong. Pegangan dalam iShares Silver Trust tidak berubah sejak 20 April pada 9,552.14 tan sehingga 1 Mei.
- REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan