Khamis, 7 Jun 2012

AWAS...SI PENCURI EMAS

JASIN : Lima individu membabitkan dua wanita tempatan dan tiga warga China termasuk dua lelaki telah diberkas polis selepasm mereka dipercayai mencuri emas melalui perkhidmatan mencuci barang kemas di sekitar daerah Jasin pada penghujung Mei lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Shahidi Abdullah, berkata semua suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun itu ditangkap di Muar, pada 25 Mei lalu selepas pihaknya menerima dua loparan daripada mangsa membabitkan kerugian RM30,000. 

"Suspek menggunakan modus operandi berpura-pura menjual pelbagai barangan seperti stokin dan alat tulis, sebelum menawarkan perkhidmatan mencuci emas dengan harga serendah RM2 kepada mangsa. Apabila mangsa tertarik dan menerima tawaran itu, suspek mengambil kesempatan mencuri emas dengan cara membakar barangan perhiasan itu menggunakan penunu bunsen sebelum melarutkan ke dalam tiga jenis bahan kimia khas tanpa disedari mangsa," katanya ketika ditemui.
Katanya lagi, ketika proses secara berulang kali itu dilakukan, sebahagian emas dipercayai tertanggal dan terkumpul di dalam larutan menyebabkan berat barangan kemas berkurangan tanpa disedari mangsa.

"Selepas proses selesai dan sindiket berkenaan pulang, pemilik barangan terbabit melihat kilauan emas miliknya menjadi pudar dan berat juga semakin berkurangan. Semua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu",katanya.

Katanya, dua kejadian yang dilaporkan berlaku di Sungai Rambai dan Merlimau pada 24 Mei lalu, membabitkan dua suri rumah berusia 50 dan 53 tahun, masing-masing mendakwa kerugian kira-kira RM2,000 serta RM25,000.

Mangsa dari Merlimau yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Sal berkata, beliau tertarik untuk menggunakan perkhidmatan ditawarkan itu kerana kosnya lebih rendah berbanding di kedai yang kadangkala mencecah sehingga RM100.

Tiada ulasan: