EMAS SADUR JADI TARIKAN PEMINAT AKSESORI BARANGAN KEMAS KERANA HARGANYA LEBIH MURAH
PASIR MAS : Kemunculan barangan kemas sadur di sekitar Pasar Mundok, disini mendapat sambutan hangat daripada pembeli yang tidak mampu membeli emas tulen. Tinjuan berita harian di sekitar pasar itu mendapati ramai peniaga mengambil kesempatan menjual emas sadur berikutan permintaan yang tinggi terhadap aksesori perhiasan itu.
Terdapat pelbagai perhiasan wanita termasuk anting-anting, gelang tangan, rantai kaki, rantai, cincin dan loket untuk dipakai kanak-kanak mahupun dewasa, mampu membuatkan pelanggan rambang mata dalam membuat pilihan kerana setiap aksesori dipamerkan itu amat cantik dan kelihatan 'mahal' sama seperti emas tulen.
Bagi seorang peniaga, Salbiah Daud,43 yang menjual aksesori saduran emas dan perak secara runcit dan borong di Pasar Mundok berkata, sambutan terhadap barangan berkenaan amat menggalakkan, terutamanya ketika musim cuti sekolah dan hujung minggu berikutan ia menjadi pilihan pelanggan untuk dipakai ketika menghadiri kenduri.
"Walaupun aksesori ini hanyalah emas sadur, barangan itu tetap menjadi pilihan kebanyakan wanita kerana kilauannya tiada beza dengan emas tulen,"katanya. Berbekalkan hamparan sehelai kain merah, Salbiah menyusun aksesori itu digerainya yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 4 petang setiap hari dan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai.
Katanya, barangan kemas saduran itu diburu kebanyakan wanita sama ada yang menjadi pelanggan tetapnya mahupun pelancong dari luar negeri. "Wanita dari negeri ini tanpa mengira latar belakang termasuk mereka yang bekerjaya tetap kerap datang, terutamanya yang suka berhias.
"Ada antara mereka membelinya untuk kegunaan sendiri atau buat ahli keluarga dan dijadikan hadiah buat sahabat handai," kata wanita yang berasal dari Kampung Pohon Celagi. Salbiah berkata, dengan harga aksesori jauh lebih murah iaitu antara RM10 hingga RM500 mengikut jenis, saiz, dan kualiti berbanding emas dan perak tulen ia memberi pulangan lumayan buat peniaga sepertinya.
Katanya, barangan kemas saduran dijualnya itu diimport dari Thailand, Myammar, China, dan Vietnam dan diambil dari pembekal di Rantau Panjang. Seorang pelanggan, Mek Mah Mamat,46 yang ditemui berkata, membeli barangan kemas sadur lebih memuaskan hati kerana harganya berpatutan dan tidak membebankan selain dapat berjimat.
SUMBER: Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan