Isnin, 18 Jun 2012

KESEDARAN TENTANG PENGGUNAAN MATA WANG DINAR, DIRHAM MASIH RENDAH DI KALANGAN MASYARAKAT KELANTAN

KOTA BHARU : Walaupun Kelantan sudah melancarkan mata wang syariah dinar emas dan dirham perak sejak 2010, namun kesedaran masyarakat di negeri ini terhadap penggunaannya dalam urusniaga masih rendah. Aktivis dinar, Awaludin mohal berkata, sepanjang tiga hari mengikuti Ekspo Perdagangan Dunia Islam dan Konvensyen Halal Berasaskan Dinar Dirham 2012, hanya beberapa keping matawang berkenaan berjaya dipasarkan.

"Bukan jumlah pasaran yang saya utamakan, namun apa yang boleh dikatakan kebanyakan penduduk disini masih rendah kesedaran mereka terhadap kelebihan mata wang syariah ini. Misi saya kini ialah memberi penjelasan dan kefahaman kepada seberapa ramai masyarakat disini, kerana yakin jika mereka benar-benar faham tidak sukar untuk membawa mereka terhadap penggunaan mata wang ini",katanya.

Awaluddin berkata, beliau bukan mengejar keuntungan sebaliknya mahu masyarakat Islam di negara ini faham tentang pengunaan matawang yang wujud sejak zaman Rasulullah SAW itu lagi. Menurutnya, berbanding masyarakat di Kuala Lumpur, kebanyakan mereka sudah faham kelebihan mata wang ini sehingga ada yang sanggup mengeluarkan wang simpanan berjumlah ratusan ribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan dinar dan dirham ini.

"Ramai yang masih tidak mengetahui tentang kekurangan mata wang kertas yang digunakan di negara ini kerana sudah sebati dengan penggunaannya, walhal ia adalah agenda Yahudi dalam menyesatkan umat Islam",katanya.

Awaluddin yang juga pesara tentera laut berkata, sebahagian pemimpin di negara ini faham tentang kelebihan mata wang tersebut namun masyarakat umum masih samar-samar mengenainya dan ini memerlukan penyelesaian sewajarnya.

"Walaupun terlalu sedikit yang tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang kelebihan dinar dan dirham ini, namun saya tidak akan berputus asa untuk mengembalikan kegemilangan mata wang sebagaimana di zaman Rasulullah SAW dahulu,"katanya lagi.

Beliau yang mula memahami tentang kelebihan mata wang berkenaan sejak 2006 kini berjuang untuk memastikan semua umat Islam menjadikan dinar dan dirham sebagai mata wang mereka suatu hari nanti.

Tiada ulasan: