70 JONGKONG EMAS LESAP
SINGAPURA : Sebanyak 70 jongkong emas kira-kira Sg$4.3 juta (RM10.7 juta) hilang dari Brink's Singapore, syarikat yang menyediakan khidmat logistik dan pengangkutan, kelmarin. Bagaimanapun, pencuri terbabit tidak dapat lari jauh.
Akhbar New Paper melaporkan selepas 12 jam kejadian rompakan itu, polis menahan seorang lelaki di Terminal 3, Lapangan Terbang Changi, pagi semalam. Lelaki itu dipercayai cuba meninggalkan republik berkenaan.
Brink's Singapore dilaporkan menyedari kehilangan jongkong emas itu dan segera melaporkannya kepada polis. Tidak diketahui sama ada jongkong emas itu sudah ditemui ataupun tidak. Setiap jongkong emas seberat satu kilogram itu bernilai antara $65,000 (RM162,199) dan $70,000 (RM174,676) berdasarkan kadar di laman web Bank United Overseas.
Semalam, Teo Wen Wei,28 didakwa membantu Jonas Tan Teck Leng merompak 70 jongkong emas bernilai RM10.7 juta daripada Brink's Singapore pada jam 7.30 malam. Teo dikatakan membantu Tan membawa emas dicuri itu dari 1 Kaki Bukit Road 1, dimana letaknya Brink's Singapore ke Bedok South Avenue 2 dan kemudian ke Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.
Dokumen mahkamah menyatakan emas itu adalah milik pengurus bernama Lee Kwee Hua. Jurucakap polis enggan memberi sebarang ulasan mengenai kejadian itu ketika dihubungi. Sementara itu, pengurus operasi Brink's Singapore juga enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu. Difahamkan pengurus besar syarikat itu berada di luar negara.
-HarianMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan