Selasa, 10 Julai 2012

SKIM AR-RAHNU KE LUAR NEGARA

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bercadang mengembangkan perniagaan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu ke luar negara. Ia akan dilaksanakan secara sistem francais dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang. Antara negara berpotensi dikembangkan termasuk Thailand (Pattani), Kemboja, Timor Laste, Asia Barat, China, India, Pakistan dan Bangladesh.

Dapatkan lesen francais
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd Malek Awang Kechil berkata pihaknya dalam proses mendapatkan lesen francais bagi produk kewangan berlandaskan syariah itu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Untuk tujuan itu katanya, yayasan itu juga turut mengadakan perbincangan dengan Bank Pembangunan Islam (IDB) serta beberapa perunding serta pihak berpengalaman dalam perniagaan francais termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

"Rancangan ini bagaimanapun hanya dapat dimuktamadkan selepas kajian menyeluruh mengenainya disiapkan", katanya selepas majlis pembukaan Persidangan Sekretariat Ar-Rahnu Serantau 2012 disini,semalam. Abdul Malek berkata, rancangan itu memerlukan kajian mendalam kerana ia bukan francais makanan, tetapi pembiayaan kewangan yang membabitkan banyak akta.

Kaji penerimaan masyarakat
Katanya, YaPEIM juga perlu mengkaji terlebih dahulu penerimaan masyarakat setempat terhadap program Ar-Rahnu serta budaya setempat dalam pemilikan emas.

"Umpamanya, kalau nak kembangkan ke China, adakah ia sesuai dengan budaya memiliki emas bagi masyarakat disana. Kajian seperti ini harus dilakukan selain kajian terhadap undang-undang mengenai perkhidmatan ini di setiap negara," katanya.

Jelas Abd Malek, pihaknya belum mendapat ketetapan muktamad tetapi melihat Asia Barat, India, Pakistan dan Bangladesh memiliki potensi diteroka. Mengulas lanjut, beliau berkata,jika di Asia Tenggara pula, pihaknya menyasar untuk meneroka pasaran Pattani, Thailand serta Kemboja dan Timor Laste.

"Hasrat ini akan disuarakan kepada Kerajaan Thailand dan serantau di Persidangan Sekretariat Ar-Rahnu Serantau 2012 yang bermula pada 8 Julai 2012. Thailand sedang mengalami masalah kekurangan sumber dana bagi pembangunan perniagaan Ar-Rahnu. Kami bagaimanapun melihat situasi ini sebagai salah satu peluang untuk mengembangkan perniagaan kami disini, disamping membantu Thailand membangunkan perniagaan Ar-Rahnu mereka,"katanya.

Bagaimanapun katanya, yayasan perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan Thailand terlebih dulu sebelum memulakan operasi.

Tiada ulasan: