Selasa, 31 Julai 2012

740 PENCAGAR EMAS PALSU TELAH DIKESAN

Siasatan polis mengenal pasti seramai 740 pencagar emas palsu yang kebanyakkannya penduduk kampung yang telah diperdaya sindiket menggunakan taktik menyadur tembaga dengan emas sehingga mengakibatkan sebuah bank kerugian RM75 juta. Polis turut mendedahkan selain bank tersebut, sebanyak 11 kedai pajak gadai di seluruh negara turut diperdaya sindiket yang sama namun jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, kesemua pencagar itu digunakan oleh ahli sindiket yang dikesan telah beroperasi sejak September tahun lalu dengan bayaran upah antara RM300 dan RM800. Kegiatan sindiket itu hanya terbongkar pada April lalu selepas seorang pengusaha kedai pajak gadai merasa hairan apabila pencagar emas itu tidak tampil untuk membuat tuntutan.

Berikutan itu, pengusaha tersebut melakukan ujian ketulenan emas sebelum mendapati terdapat tembaga di dalamnya. Pengusaha berkenaan kemudian membuat laporan polis yang seterusnya membongkar kejadian sama berlaku di beberapa kedai pajak gadai lain termasuk sebuah bank tempatan yang menawarkan sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersional (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan ujian yang dijalankan mengesan hanya 25 peratus emas tulen yang disadur di bahagian luar kepingan tersebut manakala 75 peratus adalah tembaga.

"Polis membuka sebanyak 11 kertas siasatan ekoran laporan yang dibuat pengusaha kedai pajak gadai dan bank tersebut. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. Siasatan dijalankan secara menyeluruh dan semua aspek bagi mengesan sindiket berkenaan termasuk penglibatan orang dalam," katanya.

Syed Azizan enggan menggulas lanjut berhubung pertemuan itu memberitahu, pihak polis meminta kerjasama pencagar-pencagar emas palsu tersebut untuk tampil membantu siasatan dalam usaha mengesan dalang utama sindiket terbabit. Dalam pada itu, Syed Azizan menasihati mereka yang menjalankan perniagaan pajak gadai supaya menggunakan mesin ujian emas lebih canggih serta khidmat pakar penilai logam dalam menentukan ketulenan emas yang dicagar agar kejadian sama tidak berulang.

Difahamkan, terdapat empat syarikat di negara ini yang mempunyai kepakaran menentukan ketulenan emas selain diberi kuasa untuk mengeluarkan sijil sah ketulenan logam yang diuji. 

Tiada ulasan: