Rabu, 11 Julai 2012

EMAS DIBALAS EMAS

"JIKA bawa balik pingat emas dari London, anda akan mendapat jongkong emas bernilai dua juta ringgit sebagai ganjaran". 

ANDREW Kam (tiga dari kanan) mempamerkan jongkong emas yang  akan diberi kepada pemain badminton negara yang berjaya membawa pulang pingat emas dari Sukan Olimpik London 2012 dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

Itu janji pengerusi Kuala Lumpur Racket Club (KLRC), Datuk Seri Andrew Kam yang melontarkan cabaran kepada enam pemain badminton negara yang bakal menggalas misi memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik London 2012, semalam. Sebagai pencinta sukan badminton dan pemilik lombong emas, Datuk Seri Andrew Kam terpanggil untuk memberikan insentif lumayan menerusi program 'Gold for Gold' KLRC itu kepada pemenang emas acara badminton yang mana emas seberat 12.5 kilogram bernilai 2 juta itu dikongsi bersama dengan mana-mana pemain yang turut meraih emas Olimpik pada Temasya 27 Julai hingga 13 Ogos di London.


Datuk Lee Chong Wei memegang jongkong emas seberat 12.5 kg bernilai 2 juta
Andrew yang telah lama menterjemahkan minat yang mendalam terhadap badminton menerusi penubuhan kelab KLRC berkata, sekiranya pemain dapat mengembirakan hati seluruh rakyat Malaysia dengan menyumbangkan emas pertama Olimpik, maka beliau berharap dapat mengembirakan pula hati mereka dengan pemberian insentif jongkong emas sebagai tanda terima kasih.

"Saya rasa ramai orang tahu, bagaimana mendalamnya cinta saya kepada sukan badminton. Sebab itu saya mahu menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepada pemain negara di Olimpik. Saya hanya tahu menghasilkan emas,jadi sebab itu saya menawarkan emas kepada mereka.

"Saya mahu mencabar pemain badminton negara untuk melakar kejayaan terbesar di London. Harap, insentif ini mampu memberi galakan kepada mereka untuk memburu emas pertama Malaysia di Olimpik. Saya percaya, semua pemain yang telah melayakkan diri ada peluang," kata Andrew pada sidang akhbar semalam.

Andrew yang juga Presiden KLRC Berhad dan Pengarah Urusan Raub Australian Gold Mining Sdn.Bhd menegaskan, beliau masih memiliki kepercyaan yang tinggi bahawa Datuk Lee Chong Wei mampu mencabar kejuaraan daripada jaguh China, Lin Dan meskipun dibelenggu masalah kecederaan.

Malah, beliau percaya beregu campuran Chan Peng Soon - Goh Liu Ying juga mampu melakar kejutan dengan menghadiahkan emas berdasarkan prestasi memberangsangkan pasangan muda itu sejak akhir-akhir ini manakala Koo Kien Keat - Tan Boo Heong memiliki pengalaman luas untuk mencipta kejayaan di peringkat tertinggi.

Turut melengkapkan skuad ke temasya London adalah pemain perseorangan wanita, Tee Jing Yi yang bagaimanapun hadir untuk menimba pengalaman. Andrew merupakan orang persendirian kedua yang menawarkan ganjaran kepada atlet yang berjaya meraih emas Sukan Olimpik. Bulan lalu, syarikat perabot 3V Holdings menjanjikan RM1 juta untuk dikongsi oleh pemenang pingat emas pada temasya London (semua acara sukan).

Jongkong emas bernilai 2 juta itu juga akan dikongsi oleh pemain badminton sekiranya terdapat lebih daripada seorang berjaya meraih emas. 

Tiada ulasan: