Rabu, 4 Julai 2012

HARGA EMAS KEMBALI PULIH

Harga emas meningkat melepasi paras AS$1,610 seaun dengan sentimen pulih susulan data ekonomi yang lemah, sekali gus meningkatkan spekulasi bank pusat akan mengambil langkah mengurangkan dasar monetari bagi merangsang pertumbuhan. Rali dalam pasaran logam berharga itu juga sejajar dengan pasaran lain, dengan harga saham dunia turut meningkat.

Data pengeluaran Amerika Syarikat (AS) pada Jun menguncup buat pertama kali dalam tempoh hampir tiga tahun, dengan data ekonomi yang dikeluarkan dari Eropah dan Asia menunjukkan krisis hutang euro menjejaskan ekonomi global.

Bank Pusat Eropah (ECB) akan menjadi peneraju dalam langkah mengurangkan dasar monetari, dengan jangkaan yang meluas bahawa kadar faedah mencecah rekod terendah pada minggu ini. Beberapa data ekonomi yang lemah di AS mendorong kepada pelaksanaan pakej rangsangan selanjutnya. Emas secara tradisinya mendapat sokongan daripada persekitaran kadar faedah yang rendah kerana ia mengurangkan kos memegang logam berharga itu.

"Sejak beberapa minggu lalu, data ekonomi yang dikeluarkan di AS adalah lemah dan ini mendorong kepada kemungkinan pelaksanaan QE3 yang mana menjadi alasan utama kepada peserta pasaran untuk beralih kepada emas," kata penganalisis di Commerzbank, Eugen Weinberg.

Harga emas naik 0.9 peratus kepada AS$1,611.59 seaun sementara penanda aras pasaran hadapan emas AS  bagi penghantaran Ogos naik 0.9 peratus kepada AS$1,612.30. Sesetengah penganalisis kekal berhati-hati kepada tekanan penurunan. Pasaran fizikal Asia jatuh selepas rangsangan sementara lewat minggu lalu bila logam berharga itu jatuh di bawah paras AS$1,550 seaun sebelum mencatatkan rali tiga peratus.

"Pelanggan kembali membeli emas di bawah paras AS$1,560 pada minggu lalu tetapi kini pasaran lenggang semula," kata peniaga yang berpangkalan di Singapura sambil menambah harga jongkong emas premium 70 sen lebih tinggi berbanding harga di London.

Rali dalam mata wang rupee berbanding dolar AS pada Jumaat lalu menggalakkan pembelian emas dari India, yang secara tradisinya adalah pengguna utama logam itu.
-REUTERS

Tiada ulasan: