RM3 JUTA BARANG KEMAS DILARIKAN TIGA LELAKI
Tiga lelaki yang menyamar sebagai pelanggan melarikan barang kemas bernilai lebih RM3 juta dari sebuah kedai emas dalam pasar raya Carrefour, Seberang Jaya semalam. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisstan Komisioner Mohd Nasir Salleh berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.15 petang ketika tujuh pekerja dan seorang pelanggan berada di dalam kedai.
Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit menyamar sebagai pelanggan dan meminta pekerja mengeluarkan rantai-rantai emas kononnya untuk dibeli.
"Secara tiba-tiba tiga lelaki terbabit mengeluarkan tiga pucuk pistol dan mengacukannya kepada pekerja serta pelanggan sambil memberi amaran kepada mereka supaya jangan bergerak,"katanya.
Katanya lagi, perompak itu menjadikan seorang pekerja kedai emas terbabit sebagai tebusan dengan mengacukan pistol di kepalanya manakala pekerja lain diarah memasukkan barangan kemas dalam sebuah beg sebelum mereka melarikan diri.
Mohd Nasir berkata, perompak berusia di antara 20 hingga 30 tahun terbabit dipercayai warga asing kerana bertutur dalam bahasa Hokkien dan bahasa Melayu yang agak pelat. Katanya, ketika kejadian, seorang pengawal keselamatan berada dalam sebuah bilik kaca di premis itu tetapi tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku amat pantas.
"Tiga lelaki berkenaan dilihat melarikan diri ke tingkat bawah pasar raya berkenaan. Mereka kemudian melarikan diri dengan dua buah motosikal bersama seorang lagi rakan yang menunggu di tingkat bawah pasar raya." katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan